Pergantungan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan setelah satu laporan pengauditan khas yang dikeluarkan pada 26 Mac 2018 oleh Pendaftar. Laporan Pendaftar Pertubuhan Peladang mendapati NAFAS menghadapi masalah dari aspek integriti, ketidaktanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusannya.NAFAS merupakan satu Pertubuhan yang dikawal selia oleh Lembaga Pertubuhan Peladang, sebuah Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Kata menteri berkenaan, Datuk Salahuddin Ayub, NAFAS perlu kembali kepada landasan asal bagi membolehkan peladang-peladang di seluruh Malaysia memperoleh manfaat darinya. Tegas beliau, perubahan besar perlu dilakukan supaya Nafas menjadi payung kepada semua peladang tanpa ada unsur-unsur politik yang keterlaluan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kepimpinan Pertubuhan Peladang di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan, perlu mempunyai pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab dan mempunyai komitmen tinggi untuk memimpin Pertubuhan yang mereka miliki ini ke satu era baru, agar mampu memberikan apa juga bantuan dan perkhidmatan kepada peladang.


PEMULIHAN

Justeru, langkah pemulihan agensi itu digerakkan. Selepas penggantungan Perlembagaan NAFAS berakhir 15 Januari lalu, Lembaga Pertubuhan Peladang dengan kelulusan MOA telah membuat pindaan kepada Peraturan-Peraturan, Pertubuhan Peladang berkuat kuasa 1 Mei lalu demi memastikan tadbir urus pertubuhan itu lebih telus, efektif dan efisien ke arah dimensi baharu yang mampu menguruskan 900,000 peladang di negara ini.

Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim berkata, pewartaan itu selari dengan agenda kerajaan semasa yang mengutamakan Rules of Law dalam mentadbir urus setiap organisasi.

Pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 ini merupakan pindaan kepada undang-undang sedia ada (Peraturan–Peraturan Pertubuhan Peladang 1983) selaras dengan hasrat MOA untuk mereformasikan kepemimpinan Pertubuhan Peladang di kesemua peringkat menjadi lebih dinamik dan berdaya saing.

Pindaan yang dibuat merupakan penambahbaikan kepada pentadbiran dan kepimpinan Pertubuhan Peladang sebelum ini yang meliputi:

  • Komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ialah terdiri daripada tujuh ahli yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPK dan lima dilantik oleh Menteri, manakala Pengerusi dipilih melalui undian majoriti.
  • Komposisi AJP di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) terdiri daripada empat ahli yang dipilih dalam MAT dan lima dilantik oleh Menteri manakala Pengerusi hendaklah dinamakan dalam kalangan AJP dan diluluskan oleh Menteri.
  • Komposisi AJP di NAFAS terdiri daripada lima ahli yang dipilih dalam MAT dan enam dilantik oleh Menteri serta Pengerusi hendaklah dinamakan dalam kalangan AJP dan diluluskan oleh Menteri.
  • Satu penggal pemegangan jawatan dipendekkan kepada dua tahun berbanding tiga tahun sebelum ini di mana tempoh maksimum pemegangan jawatan mestilah tidak melebihi dua penggal (empat tahun).
  • Kuorum bagi Mesyuarat AJP adalah tujuh orang di semua peringkat Pertubuhan Peladang.


RULE OF LAW

Pindaan itu dibuat secara teratur berdasarkan punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109]. Tindakan menyemak dan meminda perundangan sebenarnya berbentuk dinamik dan ia sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian perundangan terhadap keperluan semasa. Ia selari dengan agenda kerajaan semasa yang mengutamakan rule of law dalam mentadbir urus setiap organisasi apatah lagi apabila ia melibatkan peladang yang memerlukan perhatian daripada kerajaan. 


REFORMASI, BANTAHAN

LPP sebagai Pendaftar kepada semua Pertubuhan Peladang di negara ini mengambil maklum terdapat bantahan-bantahan daripada ahli-ahli peladang berhubung dengan pewartaan ini. Pejabat Pendaftar hampir selesai memberi taklimat kepada pemimpin, ahli-ahli peladang dan anggotanya di setiap negeri bagi menjelaskan dengan lebih terperinci pindaan ini agar kefahaman yang lebih menyeluruh dapat diberikan.

Semasa sesi engagement itu, banyak pertanyaan dan persoalan dibangkitkan dan Pejabat Pendaftar telah memberi penjelasan yang sewajarnya termasuklah tujuan asal pindaan ini dibuat. Selaras dengan hasrat ini, semakan undang-undang akan diteruskan bagi memastikan agenda reformasi ini dapat dimantapkan dalam usaha memberi semangat baharu kepada pergerakan Pertubuhan Peladang di seluruh Malaysia.