TAJUDDIN: Himpunan aman rakyat menolak ICERD anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bernama Gerakan Pembela Ummah (Ummah). Bagaimanapun UMNO dan Pas memberi sokongan kepada penganjuran ini kerana UMNO-Pas menentang ICERD yang bermula di Kg. Gajah, Pasir Salak pada 17 November 2018. Himpunan ini akan dilangsungkan dari pukul 2 hingga 6 petang di Dataran Merdeka atau Padang Merbok bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa. Oleh kerana perhimpunan aman, tiada sebab untuk pihak berkuasa tidak benarkan.

Apa peranan Datuk Seri dalam himpunan ini?

Saya dilantik oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebagai Pengarah Koodinator Himpunan Rakyat di seluruh negara. Selepas ini pun kita akan anjurkan perhimpunan di seluruh negara untuk meneruskan himpunan di Pasir Salak pada 1 September lalu iaitu Himpunan Melayu Bangkit dan Himpunan Perpaduan Ummah membantah ICERD 17 Disember serta himpunan pemuda UMNO bersama Pas yang telah pun berlaku. Penerusan himpunan ini telah dibuat UMNO dengan mendapat sokongan Pas serta NGO-NGO yang lain. Tujuannya untuk pastikan ICERD benar-benar tidak akan diratifikasi oleh kerajaan.

Kita tak nak lihat ada pusingan U di sini. Hari ini kata kerajaan tidak akan ratifikasi, tapi bila baca kenyataan kerajaan seolah-olah ini keputusan sementara.

Tetapi Pejabat Perdana Menteri telah putuskan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, malah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengatakan adalah mustahil kerajaan menandatangani ICERD tanpa ada pindaan perlembagaan, jadi, mengapa mahu diteruskan?

Respons kepada kebangkitan suara datang dari rakyat tapi bagaimanapun suara ini sudah senyap. Tidak mustahil kerajaan akan ubah keputusan dengan alasan macam-macam untuk tunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak ketinggalan dari dasar hubungan kaum yang tidak ada diskriminasi kononnya. Juga kemungkinan kerajaan akan tunduk pada desakan pelbagai tuntutan daripada kumpulan yang masa ini pun kita dengar tidak puas hati dengan keputusan tidak meratifikasikan ICERD.

Kita percaya puak-puak ini akan cari jalan bagaimana mereka boleh pengaruhi kerajaan untuk buat pusingan U supaya ICERD diterima. Mereka ada agenda tersendiri, padahal agenda UMNO-Pas jelas untuk mempertahankan Islam dan hak-hak peribumi dan institusi diraja. Persaingan ini kita ingatkan sudah tamat, tapi akan berterusan. Orang yang anggap dasar afirmatif membantu bumiputera yang diberi keistimewaan sama ada dalam pendidikan, ekonomi dan agama sebagai tidak adil sebagai diskriminasi, perasaan ini jangan ingat sudah tamat. Ini jadi agenda terutama menerusi ucapan-ucapan pemimpin dari bukan Melayu yang mengapi-apikan kaum mereka yang menganggap diri tertindas, dinafikan hak dan tidak ada kesaksamaan.

Bukankah nanti Pas-UMNO akan dicap cuba memburukkan lagi keadaan sekarang ekoran satu insiden di USJ 25 Putra Heights beberapa hari lepas?

Kita orang Melayu kena sentiasa berwaspada dan tidak boleh lena. Sebab itu himpunan ini penting supaya umat Islam sentiasa bersedia dan insaf bahawa kedudukan mereka boleh pada bila-bila masa terancam jika tidak berwaspada. Ingat bagaimana orang lain bergerak manakala kita `tidur’ sahaja.

Lagipun himpunan ini bertujuan untuk menzahirkan keputusan terima kasih kepada kerajaan bagi memberitahu bahawa rakyat mahu kerajaan benar-benar tegas dengan keputusan yang dibuat dan beri ingatan jangan sesekali ada perubahan. Rakyat tidak akan diam.

Selain itu himpunan akan ingatkan kerajaan bahawa ada banyak isu atau perkara yang berlaku waktu ini yang menjejaskan kepentingan bumiputera dan Islam. Walaupun tidak ada kena mengena dengan ICERD tetapi berlaku.

Contohnya dari segi penyebaran agama Kristian yang nampak berleluasa. Sedangkan agama lain tidak boleh disebarkan sama sekali kepada orang Islam. Kedudukan istimewa Islam seumpama ini seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Isu bahasa pula, ada menteri buat kenyataan rasmi bukan dalam bahasa Melayu tetapi bahasa lain. Ini kononnya untuk tujuan penjelasan supaya kaum-kaum lain faham. Apakah selepas 61 tahun merdeka, mereka tidak faham bahasa Melayu?

Apakah generasi muda yang melalui aliran bahasa kebangsaan tidak faham bahasa Melayu? Apa yang generasi kedua tidak mengerti bahasa ini? Alasan untuk pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pihak terbabit sangat meleset. Dari segi pendidikan, UEC tidak boleh diterima seperti mana dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pas, dia kata sistem pendidikan modul UEC mirip sistem pendidikan Taiwan. Kita tidak boleh terima, tapi pihak mereka masih mendesak.

Setakat ini bagaimana persediaan ke arah himpunan Sabtu ini?

Kepimpinan Pas dan UMNO dari peringkat presiden masing-masing, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden, setiausaha agung telah beri arahan dan buat kerahan kepada ahli masing-masing. Dua parti Melayu terbesar ini menyatakan sokongan untuk menjayakan perhimpunan ini berserta dengan NGO, pertubuhan-pertubuhan seni pencak silat dan belia. Maka sebab itu kita jangkakan kehadiran begitu ramai.

Sebagai pengarah koordinator himpunan, saya menyeru ahli-ahli UMNO dan kepemimpinan parti peringkat akar umbi supaya bersama-sama sertai himpunan ini yang bertujuan untuk menyatakan sokongan dan dukungan kita kepada perjuangan yang dibawa oleh kedua-dua parti ini. Jangan ada seorang ahli UMNO di akar umbi pun yang ketinggalan daripada sertai perjuangan ini. Saya sendiri dimaklumkan semua pemimpin tertinggi Pas dijangka berucap bersama pemimpin-pemimpin NGO yang menjadi penganjur.

MESKIPUN kerajaan telah membuat keputusan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini 8 Disember tetap akan diadakan.

Itulah pendirian Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya selaku penganjur perhimpunan. Kerana katanya, agenda itu dapat menonjolkan kesepakatan serta suara orang Melayu dan Islam yang selama ini dikatakan berpecah-belah.

Ini kemudian disambut oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan parti itu menyambut baik keputusan kerajaan, tetapi bertekad meneruskan himpunan dengan melakukan pengubahsuaian. Iaitu, format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.

Pengarah Koordinator himpunan bagi pihak UMNO, DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKFLI JALIL baru-baru ini mengapa UMNO juga senada dengan Aminuddin dan Tuan Ibrahim.