Projek SchoolNet kemudiannya diteruskan dengan menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan sehingga 1 Januari 2011.

Tahun 2011 menyaksikan permulaan kontrak 1BestariNet yang digerakkan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) iaitu dari 13 Disember 2011 hingga 12 Jun 2014 dengan kos melibatkan RM663 juta. Ini termasuk tambahan kerja-kerja migrasi perisian sebanyak RM2.8 juta.

Selepas itu bermula tempoh interim membabitkan interim 1 pada 13 Jun 2014 hingga 31 Disember 2014, Interim 2 (1 Januari 2015 hingga 30 Jun 2015) serta perlanjutan ketiga hingga ketujuh (1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2015) melibatkan kos sebanyak RM497juta.

1BestariNet fasa dua pula bermula pada 1 Julai 2016 hingga 30 Jun lalu dengan nilai kontrak sebanyak RM1.55 bilion dan perbelanjaan sebanyak RM1.09 bilion.

Bagaimanapun, pada 3 Julai lalu, YTL Communications mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pengumuman kementerian pada 27 Jun lalu, mengatakan Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis telah ditawarkan untuk menyediakan perkhidmatan internet sementara sebagai satu perkara yang mengejutkan.

Jelas syarikat telekomunikasi itu, kementerian telah menyingkir YTL Communications, memungkiri janji untuk memanggil tender terbuka dan sebaliknya bersetuju membayar bagi perkhidmatan internet kepada tiga penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang dilantik walaupun YTL telah menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas tampil Jumaat lalu dengan menegaskan bahawa segala tindakan diambil dalam aspek berkaitan dengan 1BestariNet adalah demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam usaha menyediakan sistem pengajaran, pembelajaran yang berkualiti serta terbaik demi mengoptimumkan sumber kewangan negara.

Penegasan Mohd. Ghazali itu sekali gus mencerminkan pendirian kementerian yang tidak pernah meminggirkan atau akan meminggirkan mana-mana syarikat telekomunikasi yang layak termasuk YTL Communications dalam proses tender kementerian.

YTL Communications secara hakikatnya, masih boleh mengambil bahagian dalam proses tender untuk perkhidmatan talian internet ke sekolah untuk tempoh bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya apabila proses tender secara terbuka dikeluarkan kelak.

Oleh itu, dakwaan YTL Communications bahawa kementerian telah melanggar obligasi kontrak dan tidak bertindak dengan niat baik adalah tidak berasas.

Secara faktanya, kementerian tidak melanggar kontrak dengan YTL Communications. Kontrak perkhidmatan YTL Communications iaitu 1BestariNet telah tamat pada 30 Jun lalu dan bukannya ditamatkan oleh kementerian.

YTL Communications telah diberi kontrak 1BestariNet fasa 1 bagi tempoh bermula 13 Disember 2011 hingga 30 Jun 2016 termasuklah lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali.

Selanjutnya YTL Communications telah diberi kontrak 1BestariNet fasa dua untuk tempoh bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun lalu.

Sepanjang tempoh lapan tahun perkhidmatan, kerajaan pastinya tahu kelebihan dan kelemahan YTL Communications. Atas asas itu pihak kementerian akan menggunakan tempoh interim untuk meneroka teknologi baharu yang ditawarkan syarikat-syarikat telekomunikasi lain.

Untuk rekod, antara sebab kenapa kementerian tidak menerima tawaran daripada YTL Communications bagi menyambung kontrak perkhidmatan internet percuma menerusi 1BestariNet sepertimana dinyatakan oleh Mohd. Ghazali, adalah kos tersembunyi.

Antara sebab-sebab lain ialah:

n Kerajaan berpotensi untuk kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi.

n Kelemahan yang dihadapi dalam pelaksanaan Projek 1BestariNet fasa dua akan berulang.

n Tidak dapat meneroka teknologi terkini dan bersesuaian untuk Kementerian Pendidikan.

n Dapatan Hasil Kajian Impak dan Hala Tuju Pendidikan Digital Negara mendapati kualiti capaian internet yang dibekalkan tidak memuaskan.

Sehubungan itu, selari dengan hasrat kementerian yang mahukan pelajar negara ini mendapat teknologi dan perkhidmatan terbaik, syarikat telekomunikasi lain turut dilibatkan sama dalam usaha menyediakan Internet di sekolah-sekolah.

Bagaimana hendak mendapatkan perkhidmatan terbaik jika perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada tidak dicuba? Di sini kementerian dapat membuat perbandingan dari segi kualiti perkhidmatan. Jika semua mereka setara hebat dari segi perkhidmatan, kementerian boleh lihat dari sudut kosnya pula. Inilah situasi menang-menang bagi kementerian.

Hari ini, dengan kepesatan teknologi banyak syarikat telekomunikasi mampu menyediakan perkhidmatan terbaik. Dengan adanya tempoh interim baharu ini juga, ia boleh dijadikan platform bagi kementerian untuk belajar sesuatu yang baharu menerusi syarikat telekomunikasi sedia ada.

Ini juga akan membolehkan apabila tender untuk perkhidmatan internet dibuka pada Januari nanti, kementerian mempunyai maklumat tentang kelebihan serta kekurangan perkhidmatan setiap syarikat telekomunikasi terlibat. Semuanya demi satu hasrat, iaitu demi kepentingan guru, murid dan sekolah.

Tambahan pula, pendekatan baharu ini juga dapat membuka peluang kepada syarikat telekomuniaski di bawah syarikat milik kerajaan (GLC) untuk berdaya saing, mempertingkatkan potensi serta melonjakkan imej.

Sementara itu, wujud pula ura-ura terdapat pihak mahu membuat rakaman video menggunakan pelajar sekolah bertujuan meraih simpati berikutan perkhidmatan internet 1BestariNet ditamatkan.

Apa yang pihak ini fikirkan? Bagi penulis, biarlah hal ini diuruskan antara kementerian dan syarikat terbabit, tanpa perlu melibatkan pelajar dan guru.

Jangan dilibatkan pelajar-pelajar yang tidak bersalah dalam perkara ini. Biarkan mereka di sekolah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Kasihanilah mereka.

Pihak terbabit boleh berunding terus dengan kementerian. Perkara ini ada undang-undang dan perjanjian, manfaatkannya. Jika bagus, mereka akan dipilih semasa pembukaan tender kelak.