Seperti kerajaan monarki lain, Malaysia yang mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara turut mempunyai alat-alat kebesaran khas yang diwarisi secara turun-temurun sebagai sebahagian identiti kerajaan antaranya pakaian istiadat iaitu muskat, tengkolok, pending dan Keris Pendek Diraja, Keris Panjang Diraja, cogan alam dan cogan agama.

  • COGAN ALAM DAN COGAN AGAMA

Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter. Pada sekeliling bulatan di atas tongkat ini diterapkan lambang 11 buah negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas.

Bulatan ini ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri, simbolik pada kegagahan haiwan itu mempertahankan negara manakala tongkatnya dihiasi motif enam tangkai padi daripada emas.

Cogan Agama pula adalah sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan kalimah yang bermaksud 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah,' dan di bawah kalimah itu terdapat petikan ayat suci al-Quran yang bermaksud 'tiada pertolongan melainkan dengan pertolongan Allah.'

Pada puncak tongkat terdapat ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima diperbuat daripada emas.

Pada bahagian paling atas pula diletakkan ukiran anak bulan dan bintang diperbuat daripada emas yang melambangkan Islam sebagai teras negara.

  • TENGKOLOK DIRAJA DAN PENDING DIRAJA

Tidak lengkap jika muskat tidak dipadankan bersama tengkolok. Sempena hari pertabalan itu juga Seri Paduka turut menyarung Tengkolok Diraja yang diperbuat daripada kain songket berwarna hitam bersulam benang emas.

Solek atau ikatan destar adalah ikatan ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan. Pada bahagian hadapan tengkolok disemat anak bulan dan bintang pecah empat belas diperbuat daripada emas putih serta terdapat lambang kerajaan Malaysia di tengah-tengah bintang.

Paling istimewa tengkolok atau tanjak ini adalah yang sama dipakai oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah ketika baginda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh.

Sementara, Pending Diraja pula diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

  • MUSKAT

Muskat iaitu kot panjang berwarna hitam dengan hiasan kerawang emas adalah pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 iaitu semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj.

Muskat hanya dipakai pada acara tertentu seperti pada Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan, lawatan rasmi Seri Paduka ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Istimewa pada Istiadat Pertabalan kali ini, Seri Paduka menyarung muskat yang direka dengan mengambil inspirasi daripada muskat yang dipakai oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh.

  • PENDING DIRAJA, KERIS PENDEK DIRAJA DAN KERIS PANJANG DIRAJA

Sebagai salah satu alat kebesaran diraja, Keris Pendek Diraja yang diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pada bahagian hulu keris ini dinamakan Hulu Pekaka dan berupa kepala garuda, manakala pada sampir keris diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. 

Sementara itu Keris Panjang Diraja pula adalah keris kerajaan yang berperanan sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris ini, daripada hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas negeri di Tanah Melayu. 

Bahagian matanya pula ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri ini manakala di bahagian hulu keris ini pula diukir dengan bentuk tapak kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering.

  • GENDIK DIRAJA DAN KALUNG DIRAJA

Gendik Diraja dan Kalung Diraja adalah pakaian istiadat khas untuk Raja Permaisuri Agong pada Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan pada Istiadat-Istiadat Kebesaran Diraja yang lain.

Gendik Diraja atau pemeles diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat.

Di tengah-tengahnya, di atas awan larat terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih.

Gendik ini direka khas supaya boleh dipisahkan menjadi loket dan kerongsang.

Kalung Diraja pula ialah rantai leher yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian.

Kalung ini adalah sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agung dalam istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.