Malah tidak keterlaluan jika diunjurkan berjaya atau sebaliknya, mesyuarat kali ini bergantung kepada sejauh mana persetujuan mampu dicapai dalam hal sensitif tersebut.

Memang benar isu ini melibatkan secara langsung empat negara ahli ASEAN iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei dengan China tetapi sebenarnya kemelut ini telah menjadi lebih rumit apabila Amerika Syarikat (AS) turut mempertaruhkan pengaruh mereka demi menentukan kepentingan Washington terjamin.

Kepentingan yang hendak dijamin oleh Washington adalah demi menentukan kapal dagang dan juga kapal perang belayar dengan bebas di perairan Laut China Selatan. Dengan mengambil kira senario genting yang sedang melanda Selat Hormuz yang melibatkan Iran sebagai negara pesisir dan AS sebagai kuasa besar yang berminat, maka sudah pasti latar belakang tersebut akan mempengaruhi agenda AMM dan PMC.

Jika hendak digunakan analogi dengan apa yang berlaku di Selat Hormuz dengan situasi Laut China Selatan, maka tidak keterlaluan jika diandaikan Iran yang mempunyai pengaruh dan kekuatan nyata di Selat Hormuz adalah sepadan dengan China di Laut China Selatan.

Ada yang berpendapat agenda Laut China Selatan akan dipengaruhi oleh kedua-dua kuasa besar ini iaitu AS dan China yang masing-masing akan diwakili oleh Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Menteri Luar, Wang Yi.

Tetapi masalah yang lebih ketara mengenai pendirian ASEAN sebagai sebuah organisasi adalah tidak senada. Bukan sahaja di antara empat negara ahli yang terkesan secara langsung agak berpecah tetapi juga enam negara ahli lain juga dikatakan sama ada berpihak kepada AS atau China.

Pertembungan yang berlaku ketika ini di antara Vietnam dan China berkaitan usaha cari gali minyak di Permatang Vanguard, Laut China Selatan adalah manifestasi jelas betapa sensitifnya isu ini.

Dua minggu lepas, Eksesais Kerismas yang merupakan latihan ketenteraan terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlangsung di Laut China Selatan setelah 14 tahun tidak dilaksanakan. Menariknya selepas tamatnya Eksesais Kerismas, ia diikuti pula oleh Eksesais Taming Sari yang turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kedua-dua latihan tersebut yang melibatkan lebih dari 3,000 anggota tentera menariknya turut melibatkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan pelancaran peluru berpandu Exocet MM40. Tidak menjadi sesuatu yang pelik jika latihan ketenteraan melibatkan kedua-dua aset tersebut tetapi ia memberi makna yang agak berlainan apabila ia dilakukan di perairan sensitif seperti Laut China Selatan.

Ada penganalisis mengandaikan ujian peluru berpandu Exocet itu ada kena mengena dengan tindakan China beberapa minggu sebelum itu yang turut melancarkan peluru berpandu dari beberapa terumbu di Laut China Selatan yang ditambak sehingga menjadi pangkalan tentera. Biar apa pun andaian yang dibuat, hakikatnya adalah setiap tindakan di perairan sensitif seperti Laut China Selatan boleh dibaca dengan seribu makna.

Berbanding dengan negara ahli ASEAN yang lain, pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan adalah agak unik dan kadang kala sukar dibaca. Tidak dinafikan Malaysia dan China saling bergantung dalam hal dagang dan kedua-dua negara ini tidak mahu isu tuntutan bertindih mengaburi aktiviti pelaburan yang aktif kedua-dua negara.

Pernah suatu ketika Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan walaupun Malaysia menyanjung tinggi kepimpinan China dalam hal ekonomi tetapi kadang kala tingkah laku China di Laut China Selatan sering memberi keresahan kepada Kuala Lumpur dan sering kali bertentangan dengan amalan dasar luar Malaysia.

Sebab itu amat menarik ditinjau perkara yang akan dipersetujui dalam AMM dan PMC berkait hal Laut China Selatan yang mana delegasi negara akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kerana perkara yang dipersetujui adalah manifestasi kepada kestabilan jangka panjang perairan yang menjadi rebutan.