Malaysia tidak pernah mengeluarkan KPP tetapi bagi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ia menjadi perkara lumrah kerana KPP adalah asas kepada pembentukan Dasar Pertahanan mereka.

Paling hampir dengan KPP ialah Malaysia pernah menggubal Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) pada 2016 dan sebelum itu Dasar Pertahanan Negara (DPN) pada 2010.

Tetapi kedua-dua DKDN dan DPN dianggap tidak menyeluruh dan hanya merangkumi tempoh jangka masa pendek berbanding dengan konsep KPP yang lebih terperinci dan lazimnya melampaui masa sehingga satu dekad lamanya.

Tetapi bagi sesetengah negara kuasa besar seperti AS dan UK umpamanya, KPP mereka adalah untuk jangka pendek kerana pelaporan bersifat dinamik. Secara idealnya pembentukan DKDN dan DPN sepatutnya berpandukan kepada KPP tetapi ini tidak dilaksanakan kerana Malaysia tidak pernah mempunyai KPP.

Antara negara ahli ASEAN yang telah melaksanakan KPP secara berkala ialah Brunei, Kemboja, Filipina dan juga Singapura. Tetapi paling mencuri perhatian adalah KPP Singapura yang terkini dibentuk pada 2004 dan tahun ini dijangka memperbaharui KPP mereka yang lazimnya mengguna nama Strategi Keselamatan Nasional.

Mengapa dikatakan KPP sebagai dokumen yang penting dan terperinci adalah kerana Singapura menggunanya sebagai asas dasar pertahanan mereka dan ini termasuk peruntukan pertahanan.

Bukan sahaja setiap tahun peruntukan pertahanan mereka di antara empat hingga lima peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) tetapi juga mengambi kira kadar inflasi sebanyak empat peratus setiap tahun. Kesemua ini dilakukan berlandaskan saranan yang terkandung dalam KPP mereka.

Australia yang sering melalui percaturan politik yang menyaksikan pertukaran kepimpinan kerajaan silih berganti tetapi hakikatnya adalah hala tuju pertahanan mereka tidak akan berubah hanya kerana perubahan kerajaan dan itu lah sebenarnya matlamat KPP. Kali terakhir Australia menggubal KPP mereka ialah pada 2016.

Penggubalan KPP Malaysia tidak syak lagi sudah berada pada fasa terakhir kerana beberapa hari lepas Menteri Pertahanan mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi KPP.

Ia turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Berpandukan keanggotaan mesyuarat tersebut ia sebenarnya menggambarkan kepentingan KPP yang merangkumi segala aspek pertahanan, keselamatan dalam negeri yang juga berkait rapat dengan hal ehwal ekonomi dan komunikasi.

Seperkara agak kritikal dalam setiap KPP adalah dokumen itu diguna sebagai asas pembentukan dasar pertahanan, maka implikasi kewangan mesti diambil kira dalam penggubalan KPP.

Tidak guna jika perancangan dilakukan tetapi hakikatnya tidak mampu dilaksanakan kerana kekangan kewangan. Jika ini berlaku maka KPP dianggap sebagai dokumen setakat hanya enak dibaca dan jika itu senarionya maka matlamat sebenar KPP gagal dicapai.

Sebab itu juga agak janggal apabila Kementerian Kewangan tidak diwakili sama ada oleh menteri atau timbalannya. Mohamad juga menegaskan antara kandungan KPP yang sedang digubal ialah strategi menghadapi bentuk ancaman semasa terutama sekali yang disebabkan oleh kumpulan militan dan pengganas.

KPP 2004 Singapura umpamanya memberi perhatian khusus kepada ancaman bentuk baharu ini yang mungkin berpunca dari individu atau kumpulan kecil yang lebih sukar dibendung.

Hari ini ancaman militan tetap wujud tetapi dalam dimensi berlainan. Jika sebelum ini militan guna landasan alam maya siber melaksanakan perang dan gerak saraf tetapi kini kemajuan teknologi sekali lagi boleh di salah guna.

Era sebelum ini yang digelar Revolusi Industri 3.0 (IR3.0) di mana teknologi siber meledak tetapi hari ini kita sudah melangkah ke era baharu iaitu IR4.0 di mana sempadan di antara alam fizikal dan siber tidak wujud.

Sebab itu amat kritikal KPP yang sedang digubal mengambil kira bukan sahaja ancaman militan tetapi juga ancaman militan dalam era IR4.0.