Titah Seri Paduka, TN50 adalah satu visi penting yang akan menentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya di persada dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Saya amat menyokong pandang­an Seri Paduka dalam soal pembangunan negara menerusi TN50 ini yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. TN50 adalah satu wawasan yang mana idea daripada semua peringkat masyarakat berfungsi sebagai pemangkin ke arah pemo­denan negara dan kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Bercakap soal idea, saya amat tertarik dengan konsep membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya di negara ini. Ini kerana daripada ilmu, maka akan terlahirlah cetusan idea. Daripada cetusan idea pula lahirlah satu model yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan sehinggalah mendapat hasil yang diinginkan.

Dalam sejarah peradaban manusia, konsep membudayakan ilmu tidak boleh dipisahkan dengan penerbitan buku. Sejak ribuan tahun, buku menjadi kaedah utama dalam perkembangan tamadun sesebuah bangsa. Banyaknya penerbitan buku dan penulisan ilmiah dihasilkan oleh sesebuah bangsa, maka bangsa itu kebiasaannya dianggap pe­neraju dalam perkembangan ilmu dan tamadun tidak kira apa bidangnya sama ada agama, ekonomi, teknologi, perubatan, sejarah, pelayaran atau sebagainya.

Piawaian UNESCO menetapkan nisbah 0.1 peratus daripada populasi bahan diterbitkan bagi setiap satu juta penduduk setiap tahun sebagai tanda aras kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan bagi sesebuah negara.

Di kebanyakan negara maju seperti Kesatuan Eropah (EU) ketika ini, sebanyak 300,000 judul bahan ilmiah termasuk jurnal serta kertas penyelidikan diterbitkan setiap tahun bagi memastikan perkembangan pendidikan di negara-negara berkenaan selari dengan perubahan struktur sosial masyarakat, ekonomi, politik serta teknologi ketika ini dan pada masa depan.

Di United Kingdom (UK) misalnya, populasi penduduk di negara itu pada tahun lalu menca­tatkan kira-kira 65.1 juta orang. Dengan jumlah populasi itu, negara tersebut mengeluarkan kira-kira 200,000 judul penerbitan setiap tahun. Ini bermakna UK menerbitkan kira-kira 31 peratus judul penerbitan setiap tahun mengikut piawaian UNESCO.

Di Malaysia, populasi penduduk ketika ini berjumlah 31 juta orang. Daripada jumlah kependudukan itu, seharusnya negara ini menerbitkan kira-kira 31,000 judul penerbitan setiap tahun. Namun, judul penerbitan tahunan yang dihasilkan di negara ini hanyalah sekitar 20,000 judul. Masih jauh lagi jika diban­dingkan dengan piawaian dunia.

Justeru, bagi memperkasakan soal pengembangan dan pembudayaan ilmu, maka sudah sampai masanya Dasar Buku Negara (DBN) dikaji semula agar terus relevan dengan perkembangan semasa ketika ini dan pada masa depan.

DBN pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat menerusi bacaan pertama pada 1981 diikuti bacaan kedua pada 1984 sete­rusnya menjadi dasar pada 1988.

Selepas itu dasar tersebut terus diguna pakai lebih 30 tahun meskipun persekitaran negara, ekonomi dan sosial masyarakat telah me­ngalami evolusi yang pesat. Maka untuk mencapai visi TN50, DBN tidak boleh dilihat sebagai dasar yang kuno sebaliknya menuntut pembaharuan agar ia terus selari dengan peredaran zaman.

DBN harus dijenamakan semula dan perlu diberi perhatian khusus termasuklah perluasan skopnya melampaui helaian kertas yang dihimpunkan menjadi sebuah buku.

Pencarian ilmu mesti menggali, mengekstrak, mengasimilasikan mengikut perubahan semasa dan terus dizahirkan dalam bentuk konvensional dan digital.

Bagi melengkapkan perubahan DBN, dicadangkan beberapa langkah untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak penerbitan bahan bacaan yang berkualiti untuk rakyat sekali gus menye­marakkan semula budaya ilmu dan industri berkaitannya di negara ini.

Mungkin kerajaan boleh mengkaji semula agar mengembalikan Baucer Buku 1 Malaysia yang telah ditukar kepada Kad Debit Siswa. Ini bagi memastikan para penerima bantuan itu memberikan perhatian kepada pemerolehan buku dan bahan-bahan bacaan sahaja daripada perkara-perkara yang tidak berkaitan.

Selain itu, pelaksanaan Indeks Ekonomi Perbukuan Negara perlu diambil kira bagi menyeragamkan satu tanda aras terhadap penerbitan bacaan yang dihasilkan dari segi kualiti kandungan, kesan kecerdasan selain petunjuk-petunjuk ekonomi yang menggambarkan keupayaan serta prestasi perbukuan negara.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) juga tidak boleh hanya berfungsi dan berperanan mengikut kepompong lama. Sebaliknya, perlu mengaplikasikan kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan melaksanakan inisiatif merentasi sempadan kebiasaan dalam bentuk kerangka yang lebih menyeluruh.

Pada masa sama, kerajaan perlu merangka satu strategi bagi melindungi industri buku negara termasuk menawarkan pelbagai insentif yang mampu melonjak semula kadar penerbitan judul tahunan serta sektor rantaian yang berkaitan dengannya.

Dalam usaha itu, konsep ‘Kedaulatan Kandungan’ perlu diambil kira supaya karya buku Malaysia didaftar, disimpan dan diarkibkan dalam negara secara bersungguh-sungguh agar rakyat negara ini tidak perlu ‘mengemis’ dengan pihak luar meminta kan­dungan atau bahan yang membabitkan diri kita sendiri seperti mana nasib artifak, manuskrip, buku kajian dan hikayat silam yang ketika ini disimpan di negara asing.

Difahamkan, terdapat 14,000 koleksi manuskrip alam Melayu masih tersimpan di gedung Universiti Leiden di Belanda ketika ini dan belum termasuk yang disimpan di Perpustakaan British serta di Singapura, Thailand dan lain-lain.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Sungai Besar.