Difahamkan di negara kita pernah ada syarikat memperkenalkan perkhidmatan sama tetapi sekejap sahaja operasinya. Mungkin tiada sambutan daripada orang ramai. Jadi, kalau mahu diperkenalkan motosikal e-hailing di negara kita sebagai alternatif perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada, okey ke?

Saya bertanyakan sendiri pemandu e-hailing tentang perkara ini kerana mereka lebih tahu dan faham dengan perkhidmatan sedemikian. Lagi pula ini melibatkan periuk nasi mereka, khuatir tidak boleh cari makan nanti kalau sudah ada motosikal e-hailing.

Bagi Suhaimi Salleh, 51, dia sendiri pernah menggunakan perkhidmatan teksi motosikal di Bangkok sebelum ini. Ketika itu jalan sesak teruk, kenderaan hampir tidak bergerak langsung. Pada masa sama, dia perlu menghadiri satu mesyuarat penting. Jaraknya tidak jauh, tidak sampai pun satu kilometer. Kalau naik bas atau teksi, setengah jam pun belum gerenti sampai. Jadi, pilihan terbaik adalah teksi motosikal.

Mula-mula memang Suhaimi rasa bimbang tapi melihatkan penunggangnya memakai kelengkapan keselamatan yang lengkap dengan jaket, sarung tangan manakala penumpang disediakan topi keledar, dia memberanikan diri mencuba. Dia dapati penunggang itu membawa motosikal dengan penuh hati-hati dan berhemah. Daripada rasa takut tadi sudah bertukar jadi yakin dan seronok pula. Memang tepat keputusan dibuatnya, tidak sampai 10 minit sudah sampai lokasi dituju. Cuma kurang selesa sikitlah berbanding naik kereta. Panas, tiada penyaman udara, hanya tiupan angin.

Justeru, Suhaimi amat setuju kalau perkhidmatan berkenaan diperkenalkan di negara ini terutama di Kuala Lumpur. Jika ada, ia akan memudahkan dan menjimatkan lagi masa pengguna. Namun ia hanya sesuai untuk perjalanan jarak dekat dalam kawasan segi tiga emas di ibu negara kerana kalau jauh, aspek keselamatan menjadi faktor utama. Maklumlah, membawa pembonceng dalam jarak jauh dan agak lama pasti sedikit membahayakan kedua-dua pihak. Penat pun ya juga sebab tidak selesa.

Malah dia tidak kisah kalau terpaksa bertukar kerjaya daripada pemandu kepada penunggang e-hailing. Apa salahnya kalau ia memberi pendapatan tambahan selain dapat berbakti kepada pelanggan yang mahu sampai cepat ke destinasi dituju?

Pemandu e-hailing, Mohd. Zawawi Said, 46, juga mengalu-alukan perkhidmatan itu jika mahu dilaksanakan. Walau bagaimanapun, mana satu pilihan, pelanggan yang tentukan sendiri sama ada nak naik kereta atau motosikal e-hailing. Kalau tidak mahu, bas, teksi dan tren komuter pun ada.

Cuma apa yang dibimbangkan Mohd. Zawawi adalah keselamatan pembonceng. Yalah, ramai pemandu di negara ini yang masih kurang peka dengan kehadiran motosikal di sekeliling mereka. Kadang-kadang pemandu sesuka hati menukar lorong secara tiba-tiba tanpa menghiraukan motosikal yang datang dari belakang.

Sehubungan itu dia mencadangkan dibuat laluan motosikal supaya perkhidmatan motosikal e-hailing lebih selamat.

Berbeza pula pandangan seorang lagi pemandu e-hailing, Mohd. Shahlan Mohd. Alkap, 51. Dia tidak bersetuju jika mahu disediakan perkhidmatan motosikal e-hailing kerana ia boleh menjejaskan periuk nasi orang sepertinya. Manakan tidak, naik motosikal dalam pusat bandar Kuala Lumpur memanglah pantas, murah pula tambangnya, mestilah akan terjejas mata pencariannya nanti.

Sementara itu, Ketua Labaratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusof Saari memberitahu, tidak seperti di Indonesia yang sudah menjadi budaya, kita masih belum terbuka dengan konsep sedemikian. Kalau mahu dilaksanakan juga pada masa sekarang, memang kurang sesuai.

Menurutnya, boleh mendatangkan lagi banyak masalah sosial. Sebagai contoh, kalau penunggangnya lelaki manakala yang membonceng adalah wanita, susah jadinya. Justeru pilihan terbaik kepada pengguna e-hailing di negara ini masih lagi kereta.

Jadi, sesuai atau tidak perkhidmatan motosikal e-hailing dijadikan alternatif kepada pengguna terutama di ibu negara atau bandar-bandar besar lain di negara ini? Pasti anda sendiri boleh berikan jawapan.

Kalau nak cepat ke tempat dituju dan murah pula tambangnya, tidak mustahil perkhidmatan sedemikian menjadi pilihan utama masyarakat kita suatu hari nanti. Menjadi penunggang e-hailing pula tidak mustahil buat warga kota untuk menambah pendapatan bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup. Mungkin?