Menurut Pengerusi BN Selangor, TAN SRI NOH OMAR, berdasarkan situasi semasa, beliau melihat BN berpeluang untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk kerajaan negeri di Selangor dengan majoriti mudah.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto AMIN FARIJ HASAN di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam baru-baru ini, beliau berkata, terdapat banyak isu di negeri itu yang berpunca daripada kelemahan pengurusan dan perancangan kerajaan negeri pembangkang.


MINGGUAN: Apakah isu-isu besar di Selangor dalam tempoh 10 tahun di bawah pentadbiran kerajaan negeri pembangkang?

NOH: Kalau kita lihat dari segi pelaburan pada tahun lalu, Selangor jatuh ke tempat keempat. Walaupun Selangor menerima paling banyak projek iaitu 202 projek tapi nilai pelaburan cuma RM5.5 bilion. Daripada perangkaan ini, kita dapat lihat pelabur-pelabur yang besar tidak datang ke Selangor. Jadi, yang ada cuma projek-projek kecil.

Kemungkinan pelabur besar tidak datang adalah kerana isu air sebab simpanan air bersih Selangor cuma dua peratus. Sepatutnya perlu ada 15 peratus, baru bekalan air stabil. Bila simpanan air cuma dua peratus, air untuk kegunaan harian pun tidak cukup. Bila air tidak cukup, pelabur tidak berminat untuk datang.

Selain itu, ada lebih kurang 700 projek tidak boleh dimulakan kerana tidak mendapat kelulusan disebabkan air tidak dapat dibekalkan. Ada juga projek sudah siap tetapi tidak mendapat sijil layak menduduki (CF) sebab tidak ada bekalan air. Mungkin pelabur besar ini tidak berapa yakin hendak melabur di Selangor kerana suasana politik yang caca marba. Parti berlainan ideologi tapi duduk sebagai kerajaan.

Dari segi pembangunan ekonomi, tidak ada apa-apa projek yang boleh dibanggakan dalam tempoh sepuluh tahun sejak pembangkang memerintah Selangor. Rakyat boleh tengok sendiri projek-projek baharu yang dibuat di Selangor seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan lebuh raya, semuanya peruntukan daripada Kerajaan Pusat. Kalau di Johor ada bandar baharu Nusajaya dan Perak ada bandar baharu Amanjaya, Selangor tidak ada bandar baharu yang boleh kita banggakan.

Barisan Nasional (BN) sudah kalah dalam dua pilihan raya umum di Selangor. Kalau dahulu mungkin disebabkan faktor bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Bagaimana Tan Sri melihat peluang BN apabila berhadapan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam PRU-14)?

NOH: Saya lihat faktor “wow’ antara Abdul Khalid dan Mohamed Azmin jauh berbeza. Sebab Khalid dahulu dilihat sebagai seorang tokoh korporat dan profesional. Rakyat lebih yakin dengan perancangan-perancangan dan pengurusan negeri.

Saya bagi contoh isu air. Abdul Khalid pada mulanya cuba menghentikan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan beliau hendak buat Sistem Pembesaran Sungai Hibrid (HORAS).Tetapi apabila menyedari projek itu tidak berdaya ekonomi, beliau bersetuju menyambung semula Langat 2.

Kita sudah nampak masalah air akan berlaku dan mula membuat perancangan pada 2006. BN memandang jauh ke hadapan, 10 tahun atau 15 tahun ke hadapan. Kita tidak buat projek ad-hoc seperti Kerajaan Negeri Selangor.

Abdul Khalid mengetepikan fahaman politik dan bersetuju meneruskan projek Langat 2. Beliau juga bersetuju dengan penstrukturan semula industri air Selangor dan telah menandatangi perjanjian. Saya dimaklumkan salah satu punca Abdul Khalid dipecat sebagai Menteri Besar Selangor kerana beliau buat perjanjian air.

Sepatutnya migrasi air sudah selesai. Kerajaan Pusat telah membantu membuat bayaran kepada Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. Pada zaman Abdul Khalid dahulu, beliau hendak bayar RM250 juta sahaja tapi Mohamed Azmin menawarkan RM2.6 bilion kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

Bila Mohamed Azmin jadi menteri besar, beliau mengambil tindakan drastik. Beliau membatalkan apa yang telah dirancang oleh Abdul Khalid seperti Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex). Mohamed Azmin lebih banyak berpolitik.

Sebab itu, kita lebih mudah berhadapan dengan Mohamed Azmin sebab banyak isu yang kita boleh nampak hari ini.

Sejauh mana sokongan daripada empat bekas Menteri Besar Selangor kepada BN mampu membantu kemenangan di negeri ini?

NOH: Walaupun pakatan pembangkang memandang rendah sokongan yang diberikan oleh Abdul Khalid, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar kepada BN, mereka ini semua pernah menjadi Menteri Besar Selangor dan boleh nampak kelemahan yang ada dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

Mereka pernah menjadi menteri besar dan tahu ke mana hala tuju negeri. Kita lebih yakin apabila ada antara mereka yang dahulunya memakai baju sebelah sana sekarang sudah menyokong kita.

Bercakap tentang PRU-14, bagaimana Tan Sri melihat proses pemilihan calon UMNO?

NOH: Berbanding sebelum ini, saya nampak kaedah pemilihan calon untuk pilihan raya kali ini lebih terbuka dan tepat. Berdasarkan pengalaman saya, pemilihan calon bergantung kepada sejauh mana rakyat di sesuatu kawasan boleh memberi kepercayaan kepada calon berkenaan. Soal calon orang muda atau veteran bukanlah ukuran kemenangan.

Kalau hendak buat perbandingan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Patuh pada 2015, pembangkang meletakkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail manakala UMNO meletakkan calon orang muda tetapi kita kalah juga.

Di PRK Parlimen Rompin pada 2015, UMNO meletakkan calon veteran manakala Pas meletakkan orang muda. Calon orang muda kalah juga. Pada saya, soal calon ini yang penting adalah sejauh mana kebolehan kepemimpinan itu diterima.

Pada hemat Tan Sri, apakah kriteria utama dalam soal pemilihan calon Barisan Nasional (BN) amnya dan UMNO khususnya?

NOH: Bagi saya ada dua kriteria. Yang pertama ialah kerusi boleh menang. Saya hendak tengok di mana kerusi boleh menang. Bagi saya, terdapat 30 kerusi kerusi boleh menang. Bila sudah mengenal pasti kerusi boleh menang, baru kita tengok calon sesuai, bukan calon boleh menang.

Sekarang kita fokus kepada kerusi boleh menang dahulu. Sebab kita perlu menerima hakikat ada kerusi kita tidak boleh menang.

Adakah Tan Sri akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya dapat dilantik sebagai menteri besar sekiranya BN menang di Selangor?

NOH: Dari dahulu lagi, saya lebih berminat bertanding di Parlimen. Saya pernah ditawarkan pergi ke DUN semasa Abu Hassan menjadi Menteri Besar Selangor pada 1999.

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, beliau juga pernah menawarkan kepada saya untuk balik ke kerusi DUN dan dilantik sebagai menteri besar sekiranya BN menang di Selangor. Tetapi saya lebih berminat untuk kekal di Pusat. Sekarang ini pun, kalau ditanya, saya lebih berminat duduk di Pusat.

Sebab saya sudah lima penggal menjadi Ahli Parlimen sejak 1995. Jadi saya lebih banyak pengalaman di peringkat Persekutuan. Yang penting adalah Selangor menang. Bila menang di Selangor, ada ramai pemimpin boleh menjadi menteri besar. Tugas saya cuma memastikan kita menang di Selangor, bukan soal siapa menjadi menteri besar.

Selepas pengumuman calon nanti, mungkah akan ada ahli UMNO yang kecewa, kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

NOH: Saya tidak hairan sekiranya perkara itu berlaku. Ini kerana PPBM adalah tempat pemimpin-pemimpin UMNO yang kecewa. PAN pula adalah tempat bagi pemimpin-pemimpin Pas yang kecewa. Yang pandai di belakang ini adalah DAP. Akhirnya dengan peranan DAP, lahirnya Parti Amanah Negara (PAN). Dengan adanya DAP, tertubuhnya PPBM.

Akhirnya masing-masing menjilat ludah sendiri. Kalau dahulu, siapa yang hendak menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kalau bukan DAP. Akhirnya mereka boleh mengiktiraf Dr. Mahathir sebagai bakal perdana menteri. Maksudnya, DAP tidak mengejar jawatan. Hendak jadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri, jadilah. DAP cuma mahukan kuasa. Dalam politik, jawatan tidak penting tetapi yang penting adalah kuasa. Macam di Selangor, DAP ada kuasa di belakang tabir.

Bagaimana dengan manifesto BN Selangor?

NOH: Kita sudah menyiapkan manifesto yang mengandungi 10 teras meliputi pelbagai aspek termasuk perumahan, pendidikan, belia dan warga emas. Di bawah 10 teras itu terdapat 118 inisiatif dengan tumpuan kepada penduduk bandar kerana 75 peratus penduduk Selangor berada di dalam kawasan bandar.

Misalnya, bagi penduduk miskin bandar, kita akan menyediakan taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) Bestari Negeri di setiap kawasan perumahan kos rendah. Tadika dan taska ini bersifat in-situ (setempat) dengan caj minimum.

Kita juga akan mewujudkan anjung sebagai tempat warga emas kurang berkemampuan berkumpul dan mengadakan aktiviti. Contohnya, kita akan menggalakkan perkebunan bandar. Bagi membantu peniaga dan penjaja kecil pula, kita akan mengecualikan bayaran lesen kepada mereka. Kita juga akan memberikan pendidikan percuma kepada semua sekolah rendah agama (SRA) di negeri ini.

Dari segi perumahan pula, kita akan memperkenalkan skim sewa untuk dimiliki kepada golongan B40. Skim itu boleh dilaksanakan untuk rumah yang dibina oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Pada jangkaan Tan Sri, bagaimana peluang BN di Selangor dalam PRU-14?

NOH: UMNO sudah dua kali kalah di Selangor. Kita sudah kena dua kali talak. Pegangan kita, jangan sampai kena talak tiga sebab nanti susah hendak rujuk balik.

Orang kata hendak menipu pun dua kali sahaja. Jadi kita tidak hairan pembangkang kalau bertanding di sesuatu tempat dua kali sahaja sebab rakyat sudah menghidu penipuan mereka.

Sebab itu saya tidak hairan sekiranya ada pemimpin pakatan pembangkang di Selangor akan lari bertanding di kerusi lain pada PRU-14. Saya nampak BN boleh menang majoriti mudah di Selangor. Insya-Allah dalam 30 kerusi DUN, kita boleh dapat.