Faktor ibu bapa beliau berasal dari Malaysia menjadi antara sebab kisahnya dianggap mempunyai nilai berita untuk disiarkan bagi tatapan rakyat negara ini.

Untuk mengingatkan kembali pembaca, secara ringkasnya lelaki berusia 34 tahun itu menjadi popular dalam YouTube kerana memuat naik video beliau mengajar kelas Matematik di Cherrybrook Technology High School, Sydney.

Saluran pembelajaran Matematik dalam YouTube yang dimulakan sejak 2012 dengan nama Wootube sehingga kini mempunyai 504,978 pengikut dan telah mendapat lebih 27 juta kali tontonan.

Menarik untuk diulas adalah mengenai kepulangannya ke Malaysia, negara kelahiran ibu bapanya, untuk mengajar 200 guru dan pelajar sekolah menengah mengenai kaedah digunakannya untuk menjadikan pembelajaran subjek Matematik menyeronokkan.

Sebenarnya, kaedah belajar Matematik dengan cara bermain, meneroka dan berkumpulan bukanlah baharu. Berdasarkan maklum balas yang diperoleh penulis daripada guru-guru yang mengikuti kelas beliau, kaedah hampir sama sudah pun diamalkan di negara ini.

Cuma sikap bersungguh-sungguh Eddie untuk mengajar Matematik termasuk merakamnya dalam bentuk video harus dicontohi. Usaha beliau telah membantu meningkatkan penguasaan Matematik dalam kalangan pelajar di Australia yang sejak sedekad lalu menunjukkan kemerosotan berdasar Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Bagaimanapun, kedudukan Australia dalam TIMSS adalah lebih baik berbanding Malaysia. Kisah Eddie menarik untuk dijadikan iktibar kerana golongan penghijrah dan keluarga masing-masing jarang dialu-alukan untuk pulang berbakti di negara kelahiran mereka.

Sebab itu ada pihak yang sanggup mengungkapkan ayat ‘Tiada maaf bagimu’ terhadap rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan masing-masing.

Golongan penghijrah yang rata-rata terdiri dalam kalangan berkemahiran tinggi dan profesional sepatutnya digalakkan untuk menyumbang bagi membolehkan Malaysia melaksanakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dengan lebih pantas.

Satu lagi yang menarik untuk diulas adalah pendirian Eddie bahawa semakin berpengetahuan seseorang itu dalam sains dan teknologi, mereka akan menjadi lebih dekat dengan Tuhan.

Menurutnya, menerusi Matematik beliau dapat melihat bagaimana alam semesta dicipta dengan begitu indah sekali.

“Kita bercakap berkenaan fakta bahawa alam semesta direka dengan corak tertentu. Adakah anda fikir itu satu kebetulan? Alam semesta direka bentuk dengan begitu tersusun berasaskan prinsip-prinsip matematik. Ia sangat indah sekali dan sudah tentu mempunyai pereka (Tuhan),” ujarnya.