Demikianlah cinta kita kepada negara dalam konteks ulang tahun kemerdekaan dan kebebasan negara daripada tekanan penjajahan seperti yang telah kita lakukan dalam perayaan secara besar-besaran pada 31 Ogos lalu.

Maka cintakan negara itu bukanlah hanya satu semangat dan azam baharu yang hanya dirasakan pada tarikh yang tersebut, malah kecintaan ini haruslah di hidupkan dan direalisasikan de­ngan pembangunan jiwa raga dan hati nurani serta fizikal dan pemikiran yang seterusnya untuk selama-lamanya. Maka kita benar-benar memerlukan terjemahan yang nyata dan bersungguh-sungguh dalam membangun dan mendaulatkan negara kita dalam segala aspek kemajuan dan dinamiknya berdasarkan cinta negara yang hakiki.

Kita boleh meneliti peristiwa sejarah iaitu ketika baginda Rasulullah SAW mahu berhijrah me­ninggalkan kota Mekah menuju ke Madinah, maka satu semangat cintakan negara tempat tumpah darahnya telah menjelma begitu hebat sekali di dalam diri ba­ginda. Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa baginda telah mem­bisikkan rasa cintanya kepada kota Mekah, tanah tempat tumpah darah baginda itu dengan penuh perasaan ikhlas, iaitu ketika akan meninggalkan kota Mekah baginda ­mengungkapkan kata-kata berikut:

“Aduhai alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Mekah), dan alangkah kasihnya daku kepada mu, seandainya ti­dak kerana diusir kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya tidak akan ku pilih kediamanku selain daripada mu.”

Setelah mengucapkan kata-ka­ta tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perintah Allah SWT demi tugas suci dan kewajipan penting lainnya sebagai Rasulullah dalam meluaskan misinya untuk agama Allah yang agung, di antaranya seperti yang terdapat hikmahnya dalam firman Allah SWT:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku adalah amat luas, maka sembah­lah Aku sahaja.” (Surah Al-Ankabut, ayat 56)

Yang membawa makna bahawa sekiranya bumi yang sempit (Mekah) itu adalah tempat yang mengancam dan membahayakan, maka keluarlah ke daerah lain yang dapat menerimanya dengan lebih baik dan di sana merupakan tempat yang terbaik untuk memusatkan penyembahan hanya untuk Allah SWT.

Ketika inilah juga turunnya ayat Al-Quran yang berbunyi:

“Dan katakanlah: Tuhanku, ma­­­sukkanlah aku dengan cara yang benar dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang (dapat) menolong.” (Surah Al-Isra’, ayat 80).

Rasulullah SAW telah mengins­pirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara merupakan satu daripada ­tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Rasulullah SAW meskipun dihadapi dengan kekasaran fizikal, iaitu perbuatan ganas dalam bentuk yang menyakitkan jasad dan badan seperti dilempar batu, onak, duri dan najis, tetapi ba­ginda sentiasa bertindak dengan penuh hati-hati agar kekerasan tidak dibalas dengan kekerasan. Malah, baginda juga berhadapan dengan tekanan mental dan kejiwaan yang amat menyentuh harga diri dan maruahnya, namun baginda telah menggunakan segala kebijaksanaan dan daya pemikirannya untuk menghadapi keadaan yang genting itu dengan sebaik-baiknya.

Dalam peringatan kedaulatan dan kebebasan negara kita sendiri daripada penjajahan, maka perkembangan yang timbul ketika kita mulai membangun negara merdeka ini juga sebenarnya dipenuhi dengan kepelbagaian masalah dan cabaran seperti pe­ra­saan perkauman,pertenta­ngan didikan dan agama, budaya yang berbeza dan warisan politik, kepenggunaan dan pembangunan ekonomi yang tidak seimbang serta masalah lain lagi yang sering mencabar kewibawaan pemerintah dan rakyat dalam mencari kebahagiaan dan perdamaian, keamanan hidup bersama dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Dalam keadaan yang sama juga, Rasulullah SAW telah membuktikan betapa perlunya mengembangkan satu cara hidup dan akidah serta nilai-nilai moral kerohanian yang baru di dalam masyarakat yang amat liar itu kerana agama yang dibawa ba­ginda adalah merupakan agama perdamaian yang mengandungi akidah yang mantap dan yang seharusnya diamalkan dengan penuh sedar oleh semua umat manusia.

Umat Islam di negara kita juga telah mengamalkan banyak budaya dan nilai universal Islam yang sesuai dengan semua umat manusia yang maju dan berta­madun, oleh itu amatlah penting sekali dalam suasana masyarakat yang semakin genting dan getir ini kita juga mengambil strategi dan sikap diplomasi yang diamalkan oleh Nabi dan Rasul kita yang tidak mengambil sikap terburu-buru berkeras dan berkonfrontasi secara ganas. Ini kerana sekiranya berlaku perkara itu maka kedudukan muslimin yang agak lemah ini akan membawa mudarat pula kepada dakwah agama Islam itu sendiri.

Inilah sebenarnya cintakan negara yang dimanifestasikan kepada cintakan perdamaian sejagat dan membangun nilai akhlak yang baik serta mencerminkan bahawa nilai-nilai murni bersama haruslah difahami dan diamalkan oleh semua rakyat berbilang kaum dan agama.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah 
Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti 
Malaysia (Integriti).