Pada asalnya 2008, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fauzi hanyalah sekadar seorang guru tuisyen di rumah. Dengan kesedaran beliau tentang betapa pentingnya pelajaran, lebih-lebih lagi, beliau adalah alma mater Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Premier dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), maka menjadi guru tuisyen di rumah mampu merealisasikan iltizamnya untuk membantu para pelajar berjaya dalam pelajaran. Melalui tuisyen di rumah, ramai pelajarnya berjaya mendapat keputusan cemerlang terutamanya dalam subjek Matematik Tambahan. Bagi memenuhi permintaan ibu bapa, beliau sanggup mengajar anak-anak mereka seawal pukul 6 pagi sehingga 2 pagi keesokan harinya. Begitulah gigihnya beliau sehingga terpaksa menolak begitu banyak permintaan daripada ibu bapa yang inginkan dirinya mengajar anak-anak mereka. Promosi daripada mulut ke mulut telah meningkatkan lagi reputasinya.

Akhirnya, ekoran ingin memenuhi permintaan ibu bapa yang begitu ramai, maka Cikgu Fauzi menubuhkan Pusat Tuisyen Idea Unggul (PTIU) pada 2009. Kebetulan pula, pada tahun tersebut jugalah 40 peratus pelajar di bawah PTIU berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam semua subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil oleh mereka. Maka makin melonjaklah nama PTIU terutamanya di kawasan Bangi dan Kajang.

Daripada hanya tiga kelas pada awal penubuhannya, menjadi 12 kelas selepas itu dan terkini sebanyak 20 kelas dibuka untuk membolehkan lebih ramai lagi para pelajar dapat belajar di PTIU. Ekoran kejayaan PTIU di Taman Putra Kajang dan Bandar Baru Bangi serta bagi memenuhi permintaan di kawasan luar Bangi dan Kajang, Cikgu Fauzi melebarkan sayap perniagaan ke kawasan lain di Lembah Klang. Terkini, PTIU dibuka di Semenyih dan bakal dibuka di Putrajaya selewat-lewatnya Mei ini. Kini, pelajar PTIU seramai 935 orang.

Bukan setakat PTIU, Cikgu Fauzi juga membuka sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dikenali sebagai Raudhah Islamic School (RIS). Bermula dengan hanya 13 orang murid pada 2013, jumlahnya meningkat sehingga mencapai 310 orang pada tahun lalu. Sebenarnya untuk mencapai tahap sebegini bukanlah sesuatu yang mudah. Ini antara sebahagian kisah kejayaan dalam dunia bisnes. Idea unggul Cikgu Fauzi bukan sahaja berjaya meningkatkan pelajaran para pelajarnya tetapi juga membuka peluang pekerjaan buat lebih 100 orang golongan muda.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya merangkap Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).