Cerita bab kurang makan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini memang tak pernah habis sejak dulu lagi. Iyalah, dulu mana ada dengar pelajar mengadu tak cukup makan dalam akhbar. Sekarang bukan setakat akhbar, dalam laman sosial pun boleh kita baca rintihan mereka.

Zaman saya dulu, boleh kata semua pelajar biasa makan Maggi yang dikerat dua dibahagikan kepada rakan sebilik. Hari-hari makan mi segera itu. Dulu bukan ada perasa selain kari dan ayam. Sekarang kira dah upgrade lah. Sudah ada perasa tom yam. Merasalah makan tom yam hari-hari dan banyak perasa lain. Sampai sekarang saya tak lalu tengok mi segera kerana hari-hari makan Maggi masa di kolej dulu.

Dulu ada pelajar buat kerja part time. Bekerja di res­toran segera selepas habis kelas. Bila cuti semester pun bekerja juga. Tak tahulah saya, kalau pelajar yang sering mengadu sekarang ini tak biasa hidup susah. Dah biasa duduk dalam dulang emas agaknya.

Pun begitu, soal pelajar ti­dak cukup makan ini, per­­lu dilihat bukan sekadar mengata mereka ini tidak tahan lasak atau mengada sangat, sikit-sikit hendak mengadu. Tetapi kita juga patut lihat perbelanjaan sekarang, tak sama macam zaman dahulu.

Sekarang ini ramai yang menginap di luar sebab kemudahan asrama hanya untuk pelajar baharu. Kalau kampus itu jauh daripada kawasan perumahan, terpaksa guna pengangkutan awam, kalau yang ada hanya perkhidmatan grab di kawasan itu, ‘masaklah’ tambang sahaja mencecah RM40 sehari atau lebih daripada itu, pergi dan balik. Itu belum lagi masuk duit sewa rumah, makan dan membuat kerja-kerja kursus.

Maka bagi ibu bapa yang termasuk dalam golongan B40, memang ini amat mem­be­bankan. Yang berpen­dapatan pertengahan pun semput juga nak membiayai kos anak belajar. Pinjaman pelajaran pun tidak boleh menampung sangat kerana ia untuk membayar yuran. Jadi apa cara untuk atasinya?

Persatuan-persatuan pelajarlah yang boleh memainkan peranan. Beri idea kepada pihak pengurusan IPTA untuk bantu pelajar. Bukan hanya bertindak menyokong dan mengiakan saja peraturan-peraturan dalam kampus tanpa memikirkan isu kebajikan kawan-kawan.

Ada juga persatuan pela­jar yang begitu. Ikut saja apa yang ditentukan pihak IPTA, takut bersuara,kantin besar tetapi satu dua saja kedai makan yang buka, menye­babkan pelajar berasak-asak membeli makanan, sehingga yang tak sem­pat makan pun ada juga. Persa­tuan pelajar buat diam sahaja. Pelajar bersuara, suruh bersabar.

Dalam pada itu, harga juga sepatutnya dipantau. Tak akan kantin pelajar tetapi harga macam kantin untuk pekerja pejabat.Tetapkan harga makanan yang rendah kepada pelajar. Kerjasama juga boleh diadakan oleh pihak IPTA dengan pengusaha makanan yang berniaga berdekatan kampus, untuk menjual makanan dengan harga diskaun. Mereka tidak akan rugi, kerana pelajar memang ramai di situ. Kalau untuk makan tengah hari saja mereka sudah berhabis sampai RM10 atau mungkin lebih, macam mana pula makan malam atau sarapan? Itu yang ada makan cuma sekali sahaja dalam sehari. Maggi atau telur rebus bukan jawapan kepada isu tak cukup makan pelajar IPTA.

Semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan perlu jujur membantu dalam hal ini. Bukan setakat cakap-cakap, melawat, melahirkan rasa simpati, kemudian balik dan tiada tindakan susulan. Akhirnya sampai bila pun isu pelajar lapar ini akan terus jadi bahan berita. Selepas itu melawat lagi, cakap pantau itu ini dan senyap balik.

Semoga kepayahan yang dilalui oleh pelajar-pelajar ini membuatkan mereka tabah dan menjadi orang yang berjaya kelak. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.