Ini terjadi apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas atau dikategorikan sebagai warga emas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Hakikatnya, kira-kira lapan juta rakyat negara ini atau statistik yang lebih tepat, 7.8 juta ber­usia 60 tahun ke atas, sekali gus menjadikan Malaysia ‘negara tua’.

Ekoran peningkatan warga emas negara inilah - antara terpantas di dunia - munculnya idea daripada Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk memperjuangkan nasib warga emas.

Antaranya, cadangan beliau yang diketengahkan baru-baru ini untuk dimuatkan dalam manifesto BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) supaya pusat penjagaan warga emas, kanak-kanak dan pusat aktiviti komuniti di negara ini diintegrasikan.

Shahrizat ketika dihubungi semalam menarik perhatian Utusan Malaysia mengenai satu kisah bertemu beberapa warga emas dalam kunjungannya di sebuah pusat jagaan golongan itu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

“Bila kita datang, mereka ceria tapi apabila selesai kunjungan saya ke situ ketika hendak beredar, mata mereka redup, sedih.

“Ya, pusat jagaan warga emas biasanya terjaga elok, cantik tetapi janganlah kita hukum mereka se­olah-olah mereka tiada harapan langsung macam nak tunggu menghembuskan nafas terakhir sahaja.

“Maka, kalau ada pusat jagaan warga emas ini diintegrasi bersama pusat jagaan kanak-kanak - walaupun mereka berada pada tahap menua - mereka akan sen­tiasa diisi keceriaan bersama ka­nak-kanak dan aktiviti komuniti bagi mengisi masa lapang,” kata beliau.

Kata Shahrizat, pusat yang akan dikenali sebagai Pusat Jagaan Integrasi atau Hybrid Comunity Center itu dicadangkan dibina di setiap kawasan Parlimen dalam Ranca­ngan Malaysia ke-12 jika BN masih diberi mandat selepas PRU-14.

Saranan Shahrizat itu realitinya menarik dan elok dipercepatkan. Di negara tetangga kita di selatan, Singapura telah pun mengorak langkah lebih jauh dalam penjaga­an warga emas yang sistematik.

November tahun lalu, Yayasan masyarakat PAP (PCF) iaitu pe­ngendali prasekolah terbesar di Singapura dengan lebih daripada 360 pusat Sparkletots di republik itu mengumumkan akan membawa anak-anak jagaan pusat Sparkletots melawat pusat jagaan warga tua berhampiran cawangan prasekolah untuk sesi silang ge­nerasi, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Golongan perintis atau warga emas ini, menurut PCF, banyak berkorban dan menyumbang kepada perkembangan republik itu. Justeru, kaedah kreatif itu diper­kenalkan bagi memastikan diri mereka kekal cerdas dan cergas dalam suasana kehidupan yang pesat dan bersaing di Singapura.

Untuk tujuan itu, kanak-kanak prasekolah dan keluarga di kawasan Kolam Ayer di republik berkenaan akan mendapat lebih banyak peluang untuk beramah mesra dengan warga emas di kawasan kejiranan mereka.

Ini dilakukan dengan pembukaan prasekolah terbaharu Spark­letots di Kallang Trivist.

Sparkletots akan menganjurkan kegiatan seperti sesi-sesi kaligrafi, senaman pagi dan projek-projek kraftangan serta kesenian lainnya.

Shahrizat memberitahu, adalah suatu kerugian jika warga emas di pusat-pusat jagaan sedia ada dibiar­kan duduk sedih berseorangan tanpa sebarang aktiviti yang menceriakan mereka.

“Hasil pertemuan dengan mereka, saya dapati ada kalangan mereka fasih berbahasa Inggeris dan kaya dengan kisah-kisah kejayaan semasa muda.

“Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa. Mereka ini ‘gedung’ pengalaman,” kata beliau.

Dalam pada itu, Shahrizat turut menarik perhatian supaya pembantu rumah dibimbing cara menjaga warga tua sebelum mereka mula bekerja untuk majikan masing-masing. Antaranya cara melakukan tugas harian seperti menggantikan lampin dan memberi makan melalui tiub.

“Jika tidak dilatih dengan cara yang betul, mereka akan teruskan tabiat-tabiat yang tidak diingini,” kata beliau.

Negara ini mungkin dipenuhi dengan rakyat berusia yang miskin, sakit dan terpaksa bekerja tanpa sokongan anak atau cucu apabila menjadi ‘negara tua’ menjelang tahun 2030.

Keadaan itu akan berlaku jika tiada perubahan atau penyesuai­an dasar dilaksanakan ketika ini.

Antara kekangan kewangan dihadapi warga tua ialah kira-kira 70 peratus mereka memiliki kurang RM50,000 apabila bersara manakala 20 peratus dikatakan mempunyai kurang RM7,000.

Pada masa sama, seorang daripada lima orang tidak mampu bertahan lama selepas bersara jika dianggarkan perbelanjaan bulanan pada kadar RM1,000. Dan seorang daripada tiga lelaki berusia 65 tahun hingga 69 tahun perlu terus bekerja.

Warga tua di Malaysia akan berganda daripada tujuh peratus kepada 14 peratus dalam masa 28 tahun sahaja berbanding Sweden yang terpaksa mengambil masa selama 112 tahun untuk mencapai status ‘tua’ ini.

Dan tidak dapat dipastikan sama ada rakyat negara ini akan menyaksikan pertambahan pusat-pusat jagaan warga emas.

Jika ini berlaku, saranan Shahrizat untuk menambahbaik pusat-pusat jagaan ini menerusi pembinaan Hybrid Comunity Center harus dialu-alukan.

“Kami sendiri sebagai wanita emas percaya ia perlu diberi perhatian dan berharap manifesto ini diberi pertimbangan Perdana Menteri,” kata beliau.