Rumah yang dikunjungi milik seorang pesara kerajaan, Baharudin Aziz, 70, kelihatan lain daripada kediaman yang ada di kampung yang terletak berhampiran dengan Taman Negara Pahang itu.

Sebaik menjejakkan kaki ke ruang tamu, penulis kagum melihat rekaan dalamannya yang rata-rata dibina menggunakan kayu.

Lantas, penulis bertanya, rumah ini..., guna kayu apa? Baharudin menjawab, “kayu cengal.”

Buat peminat rumah tradisional Melayu, tentu mereka sedia maklum rumah yang diperbuat daripada kayu cengal bukanlah calang-calang rumah.

Menurut Baharudin, dia mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan rumah kayu itu.

“Apabila ada peruntukan, saya buat sedikit demi sedikit,” katanya kepada S2 ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Labu, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Apa istimewanya rumah kayu cengal? Soalan itu penulis lontarkan kepada Baharudin.

Katanya, rumah yang menggunakan kayu jenis itu tahan lama sehingga beratus-ratus tahun.

Namun harga yang begitu mahal membuatkan tidak ramai mampu atau sanggup untuk membina rumah daripada kayu cengal pada hari ini.

“Tidak ramai lagi yang membina rumah dari kayu ini (cengal) kerana harganya mahal, selain tukang juga sudah tidak ramai,” katanya.

Kos keseluruhan rumah yang menggunakan kayu cengal yang dibina oleh Baharudin itu mencecah sehingga RM400,000.

Untuk keluasan 80 kaki x 40 kaki, Baharudin menggunakan 60 tan kayu cengal untuk menyiapkan rumahnya.

Rumah yang dibina Baharudin itu menggunakan kayu cengal sepenuhnya untuk ruang tamu dan tiga bilik tidur di bahagian tengah rumah, termasuk pintu dan tingkap.

Manakala siling di bahagian ruang tamu menggunakan kayu pine.

Sementara di bahagian dapur dan belakang rumah pula menggunakan batu-bata.

Katanya, rumah yang diperbuat daripada kayu cengal tidak mudah rosak kerana tidak dimakan anai-anai.

Ini kerana kayu cengal memiliki sejenis getah atau damar yang tidak disukai serangga.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah kenapa harga kayu cengal mempunyai nilai yang begitu tinggi.

Ditanya mengenai reka bentuk, Baharudin berkata, teratak itu dibina mengikut rekaan rumah serambi Pahang.

Rumah serambi Pahang memiliki reka bentuk rumah Melayu tradisional yang terdapat di negeri Pahang dan sering menggunakan kayu seperti cengal sebagai bahan binaan.

Ia dibina berdasarkan beberapa ciri yang mempunyai ruang utama iaitu serambi hadapan, rumah ibu atau induk yang biasanya digunakan sebagai ruang tamu serta serambi dapur.

Struktur lantai ruang induk kebiasaannya terletak lebih tinggi berbanding dapur atau dikenali sebagai ‘geta’.

Reka bentuk seperti itu dikatakan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bertujuan mengelakkan serangan musuh dari bahagian bawah rumah pada zaman dahulu.

Tingkap juga mempunyai saiz yang ‘labuh’ iaitu menyamai paras lantai rumah.

Selain itu, rumah Serambi Pahang mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

Penghadang tersebut menepati ciri-ciri keselamatan yang berfungsi melengahkan atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri.