FRANCISCO MARMOLEJO

Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal meran­cakkan kemajuan landskap dunia moden.

Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah baharu teknologi.

Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia ja­uh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Baru-baru ini, Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco Marmolejo dalam Seminar Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan me­ngalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0.

“Bayangkan pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

“Jadi kita memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya dalam satu seminar anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di ibu negara itu.

Dalam seminar itu, Marmolejo turut memuji Malaysia selaku negara pertama merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Selain menyifatkan inisiatif Malaysia sebagai satu langkah ke hadapan, beliau menyifatkan pelan pemba­ngunan pendidikan tinggi yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka kerja naratif sangat baik bukan sahaja untuk masa depan tetapi hari ini.

“Saya telah melawat banyak negara dan memerhati usaha-usaha yang dilakukan dalam menangani isu pembelajaran di seluruh dunia dan sangat jelas langkah yang diambil Malaysia lebih konkrit dalam pelaksanaannya.

“Walaupun kesan revolusi perindustrian terutama­nya berkaitan sistem pendidikan tinggi dibincang secara global tetapi apa yang dilakukan di Malaysia menunjukkan komitmen berterusan negara itu.

“Ini adalah negara pertama yang saya melihat usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan ini dalam menggalakkan perbincangan dan membangunkan pendidikan relevan dan selaras dengan Industri 4.0,” katanya.

Tambah beliau, idea yang dipraktikkan Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam ekonomi global pada masa hadapan.

Apa pun, bidang ilmu dan pendidikan mesti dijadikan sebagai teras dalam usaha mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi itu.