Dalam negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama, perkara berkaitan dengan sensitiviti agama perlu difahami supaya setiap program yang ingin dianjurkan tidak menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

Program berkaitan dengan sensitiviti agama seperti Better Beer Festival 2017 sepatutnya tidak boleh dianjurkan di mana-mana kawasan terbuka kerana boleh menyebabkan umat Islam kurang selesa dengan program tersebut.

Pesta tersebut bukan sahaja haram dalam Islam malah menyebabkan ibu bapa bimbang dan sukar untuk mengawal anak-anak mereka daripada terjebak dengan minuman arak yang adalah salah satu dosa besar dalam Islam.

Jika pesta arak bebas diadakan di kawasan-kawasan yang terbuka, maka kemungkinan besar remaja Islam mudah terlibat dalam kegiatan tersebut kerana suasana dan persekitaran memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian dan akhlak masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja.

Sebagai negara yang dihuni oleh majoriti umat Islam dan di bawah naungan institusi raja yang merupakan simbol kepada kekuatan Islam, penganjur Better Beer Festival 2017 sepatutnya memahami bahawa hasrat mereka untuk menganjurkan pesta tersebut di tempat terbuka boleh me­ngundang kemarahan umat Islam.

Masyarakat bukan Islam bebas untuk melakukan sebarang kegiatan walaupun dianggap mungkar oleh Islam selama mana kegiatan tersebut diadakan di kawasan-kawasan mereka dan di tempat-tempat tertutup.

Pesta arak sepatutnya tidak dijadikan sebagai tradisi kehidupan masyarakat beragama kerana setiap agama berusaha untuk mendorong umatnya menjadi insan yang rasional dan bertingkah laku yang baik.

Umat Islam tidak akan menghalang masyarakat bukan Islam mengamalkan tradisi agama dan budaya mereka selama mana kegiatan mereka tidak mengundang kesan negatif terhadap umat Islam. Minuman keras adalah tradisi kehidupan masyarakat bukan Islam yang difahami oleh umat Islam.

Oleh itu umat Islam dalam negara ini berusaha menghalang masyarakatnya daripada memasuki kawasan yang menjadi tempat minuman arak melalui pemantauan dilakukan oleh jabatan-jabatan agama dan sebagainya.

Sikap tolak ansur dan pengiktirafan kebebasan mengamalkan tradisi agama dan budaya yang ditunjukkan oleh umat Islam sepatutnya dihormati oleh masyarakat bukan Islam dalam negara ini.

Umat Islam tidak akan bertolak ansur jika kegiatan menggalakkan minuman bir atau arak itu disebarkan melalui pelbagai kegiatan yang boleh menarik remaja mereka berkunjung ke tempat tersebut. Better Beer Festival 2017 adalah salah satu kegiatan untuk mempromosikan minuman bir dalam kalangan masyarakat di Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Arak sering dikaitkan dengan perkara yang boleh mendorong kepada kerosakan dan kejahatan. Perkara ini disebut oleh Allah dalam surah 5 (al-Maidah) ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar/arak, berjudi (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Kerana itu, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan (kejayaan).”

Berdasarkan kepada firman Allah SWT itu, maka umat Islam amat khuatiri terhadap kegiatan yang boleh mendorong anak-anak mereka terjebak dalam kancah minuman arak. Suara umat Islam menghalang penganjuran Better Beer Festival 2017 sepatutnya difahami oleh pe­ng­anjur pesta tersebut.

Penentangan terhadap pesta itu bukan bererti menyekat kebebasan beragama dalam negara tetapi boleh memberi implikasi buruk terhadap perkembangan pemikiran dan kerohanian remaja dalam negara ini. Kegiatan ini lebih menjurus kepada corak kehidupan hedonisme yang bertuhankan hawa nafsu dan mengabaikan nilai-nilai akhlak sebagai insan yang bermoral.

Dalam Islam mempunyai konsep amal makruf (menggalakkan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) di mana umat Islam diminta supaya melibatkan diri dalam kegiatan tersebut.

Menghalang Better Beer Festival 2017 di kawasan-kawasan perhimpunan awam adalah salah satu usaha berkaitan dengan mencegah kemungkaran. Dalam Islam, menghidang, menjual, membeli dan minum arak adalah salah satu dosa besar.

Oleh itu, umat Islam berhak menghalang pesta tersebut di­sambut secara besar-besaran di kawasan terbuka demi menjaga maruah bangsa, agama dan negara dinaungi oleh Raja berperlembagaan yang menjadi tunggak kekuatan Islam.

Suasana dan persekitaran negara melambangkan sesebuah negara itu Islam atau sekular. Jika pesta memeriahkan arak menjadi tradisi negara, maka nilai-nilai dan ciri-ciri keislaman yang dilaungkan itu semakin hari kian pupus akibat masyarakat Islam sudah terpengaruh de­ngan budaya hedonisme.

Oleh itu bekerjasamalah dalam aspek pencegahan mungkar sebelum kegiatan tersebut menusuk dalam masyarakat Islam.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).