Justeru, pemilihan calon yang berwibawa oleh kepemimpinan parti untuk diketengahkan dalam PRU-14 sangat penting. Setiap kegiatan dan reputasi calon yang akan dipilih untuk menjadi rakyat wakil perlu dikaji dan diselidik secara terperinci tentang kebolehan, kewibawaan, ketekunan dan keikhlasan mereka dalam melaksanakan tugas sebagai wakil kepada parti politik mereka.

Penilaian terhadap kegiatan dan kegigihan calon wakil rakyat bukan sekadar melihat kepada kegiatan mereka yang dipamerkan dalam akaun media sosial seperti Facebook, Instagram atau seumpamanya tetapi berdasarkan kepada pemantauan secara komprehensif daripada masyarakat dan pihak tertentu yang dilantik oleh parti politik.

Masyarakat kini yang terdedah kepada sistem kehidupan global dan universal lebih prihatin terhadap individu yang dicalonkan sebagai wakil rakyat tanpa mengira parti politik. Kegigihan dan penglibatan calon wakil rakyat dalam masyarakat tanpa mengira musim dan masa adalah pilihan rakyat.

Justeru, para wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya dahulu usah terlalu ghairah untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang jika kemenangannya hanyalah berdasarkan kepada parti politik. Dan bukan kredibiliti diri dan sepanjang tempoh memegang jawatan itu, dia tidak melakukan apa-apa untuk penduduk di kawasannya.

Dalam konteks masa kini, ma­syarakat lebih tertumpu kepada kewibawaan dan kredibiliti calon wakil rakyat terutamanya apabila berlaku perpecahan yang paling serius dalam setiap parti politik umat Islam. Jika wakil rakyat yang dipilih dahulu gagal untuk memenuhi harapan masyarakat, maka usah bermimpi untuk menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya akan datang kerana reputasi perkhidmatan yang dipertontonkan kepada masyarakat tidak melambangkan diri sebagai wakil rakyat yang berwibawa.

Setiap masyarakat mempu­nyai idola dalam kalangan ahli politik yang menyebabkan mereka taksub kepada individu-individu tersebut. Jika ahli politik yang diminati oleh mereka bergabung dengan parti politik lain, maka mereka tetap menyokong beliau sebagai wakil rakyat. Ini adalah lumrah pemikiran gene­rasi dalam era globalisasi. Pemikiran dan perspektif mereka lebih luas dalam membicarakan sesuatu berkaitan politik, ekonomi dan sosial kerana kemajuan teknologi komunikasi memberi peluang kepada mereka mene­roka perkembangan dunia tanpa batasan geografi.

Konsep taksub kepada parti politik semakin hari kian luntur dalam pemikiran dan minda masyarakat masa kini kerana konsep pentadbiran dan peme­rintahan negara adalah bercirikan gabungan parti politik pelbagai kaum.

Konsep perjuangan berunsur kaum atau bangsa pun sukar untuk dipertahankan masa kini terutama apabila negara sudah bertukar menjadi sebuah negara metropolitan. Sebagai rakyat dalam negara yang dihuni oleh pel­bagai kaum, maka generasi masa kini lebih menumpukan perhatian kepada calon wakil rak­yat yang berwibawa dan menepati sifat dan tingkah laku sebagai pemimpin. Kecuaian dan kesilapan dalam pemilihan calon wakil rakyat bukan sahaja boleh menyebabkan parti politik menghadapi kekalahan, malah ia juga boleh mencemar kewibawaan parti politik sebagai satu parti yang ketandusan kepemimpinan.

Pucuk pimpinan parti politik sepatutnya tidak mengamalkan sifat favouratisme atau kronisme dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana sifat ini boleh mengaburkan pandangannya dalam pemilihan calon berwibawa. Sikap keterbukaan dan menganalisis secara terperinci sepatutnya dijadikan sebagai satu prinsip dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana keupayaan dan kelayakan individu hanya dapat dikenal pasti apabila setiap aspek berkaitan dengan dirinya dikaji dan diteliti.

Terdapat individu tertentu yang berkelayakan untuk dilantik se­bagai calon wakil rakyat tetapi nama mereka tidak disenaraikan se­bagai calon kerana bukan ter­diri daripada ahli politik yang suka mempamerkan diri dan me­nonjolkan kebolehan demi kedudukan dan pangkat. Keupayaan mereka hanya diketahui masyarakat, lantaran keaktifan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan dan sebagainya.

Individu-individu begini sepatutnya dilantik menjadi calon wakil rakyat kerana pengli­batan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan diiktiraf oleh masyarakat di kawasan mereka tanpa mengira parti politik dan kaum. Ahli-ahli politik yang tidak berakhlak dan sering me­ngundang pergaduhan sesama ahli dalam parti politik atau masyarakat sepatutnya tidak dilantik sebagai calon wakil rakyat kerana sifat dan keperibadian begini tidak menepati ciri-ciri wakil rakyat berwibawa. Oleh itu, teliti dan kaji secara terperinci sebelum melantik calon wakil rakyat supaya masyarakat berkeyakinan bahawa calon-calon tersebut menepati harapan mereka dan mewakili parti politik yang berwibawa.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).