Yang mendapat keputusan cemerlang berasa puas kerana mereka boleh memohon bidang perkhususan yang diingini selepas ini. Bagi yang kurang cemerlang, usahlah gundah gulana. Keputusan SPM bukanlah segala-galanya. Masih banyak lagi cabaran mendatang bakal menanti. Tidak mendapat keputusan cemerlang pada masa ini bukan bermaksud tidak boleh cemerlang pada masa akan datang.

Yang penting perlu sentiasa bersyukur dan melakukan yang terbaik pada masa akan datang. Ucaplah ribuan terima kasih buat ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa membantu selama ini. Usah lupakan mereka, misalnya guru-guru yang tidak kenal erti penat lelah mengajar sebelum menghadapi SPM.

Penulis masih ingat ketika belajar di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban dahulu, betapa guru-guru SDAR bertungkus lumus mengajar anak-anak murid mereka. Terima kasih buat guru-guru kami, seperti Cikgu Khalijah, Cikgu Ibrahim, Cikgu Sahak, Cikgu Cheng Ho Siang, Cikgu Chong Mei Chong, Cikgu Nirwana, Cikgu Wong Peng Yu dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan Cikgu Oh Suat Leng atau lebih dikenali sebagai Puan Chin. Beliau mengajar subjek prinsip perakaunan yang mana banyak mendorong penulis meneruskan bidang perakaunan ketika ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD.

Beliau meninggalkan legasi yang cukup besar di SDAR terutamanya bagi bidang perakaunan. Penulis masih ingat ketika belajar dahulu, SDAR telah berjaya mengalahkan sekolah-sekolah lain di Negeri Sembilan dalam pertandingan kuiz akaun termasuklah nama-nama besar seperti Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, kedua-duanya adalah sekolah berasrama penuh (SBP). Penulis difahamkan SDAR berada pada kedudukan terbaik bagi subjek prinsip perakaunan untuk SPM 2018 dalam kalangan SBP di Malaysia.

Ini menunjukkan legasi beliau diteruskan oleh guru-guru SDAR selepas beliau bersara sehingga ke hari ini. Begitulah kuatnya penangan guru-guru membentuk legasi dan secara tidak langsung mendorong pelajar-pelajarnya meneruskan bidang pengkhususan yang diingini untuk karier mendatang.

Kebetulan pula, abang penulis sendiri yang berlatar belakangkan seorang akauntan bertauliah juga telah mendorong penulis mengambil bidang perakaunan secara tidak langsung. Sebenarnya dalam kehidupan seseorang, banyak faktor yang mendorong diri untuk membuat pemilihan bidang kerjaya selepas keputusan SPM diumumkan. Pemilihan bidang dan kerjaya yang tepat cukup penting bagi membolehkan kita cemerlang pada masa akan datang.

Minat dan usaha antara faktor utama mendorong kecemerlangan seseorang dalam bidang kerjaya masing-masing. Ini disusuli menjadi seorang pakar dalam bidang tersebut sehingga dirujuk oleh pelbagai pihak tidak kira di dalam atau di luar organisasi mereka bekerja. Apa yang penting, pemilihan hala tuju kerjaya yang tepat lagi mampan perlulah dibuat sebaik mungkin mengikut trend masa akan datang memandangkan kini, teknologi digital semakin menyerlah dalam banyak urusan kehidupan manusia.

PROF. MADYA DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).