Di hatinya tertanya-tanya apakah sasaran 10,000 orang seperti diimpikan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan menjadi ke­nyataan. Dan turut terlintas di fikiran rakan penulis itu, apakah himpunan itu akan hambar seperti mana himpunan-himpunan Melayu sebelum ini.

Tetapi segala kebimbangan rakan yang datang dari Sungai Petani itu terhapus apabila tempat di mana berlangsungnya himpunan itu semakin dipenuhi hadirin. Kata dia, pelbagai ragam dilihat dan paling membangkitkan semangatnya ialah lilitan tertulis ‘Melayu Bangkit’ di kepala dan bahu mereka yang datang.

Sememangnya walaupun ada usaha oleh pihak tertentu untuk menggambarkan perhimpunan itu adalah ‘himpunan rasis’ namun ia sama sekali tidak mampu menghalang orang ramai khususnya orang Melayu membanjiri pekan Kampung Gajah.

Mereka datang dari seluruh pelosok tanah air, tiada bas yang disedia, tiada upah yang diberikan. Semuanya hadir dengan semangat Melayu bangkit untuk memberi isyarat kepada puak-puak tertentu bahawa orang Melayu masih ada suara.

Walaupun tiada pemimpin parti politik Melayu lain yang hadir selain pemimpin UMNO tetapi kehadiran ribuan orang itu membuktikan orang Melayu mampu bersatu dan perlu diingatkan perhimpunan tersebut diadakan ketika UMNO dan Pas pada masa sama sedang berganding bahu berkempen bagi memenangkan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Hakikatnya, Himpunan Melayu Bangkit dan PRK DUN Seri Setia membuktikan orang Me­layu boleh bersatu dan inilah yang paling dibimbangi oleh kelompok-kelompok yang mahu menggugat kedudukan orang Melayu.

Kalau boleh, mereka tidak mahu lihat orang Melayu bersatu sebab itulah dalam portal-portal berita, majoriti komen-komen yang disiarkan berhubung kedua-dua acara tersebut dihiasi dengan kutukan, cacian, makian dan paling popular sudah tentulah tuduhan rasis.

Namun begitu Himpunan Melayu Bangkit mahupun kerjasama UMNO-Pas membuktikan, apa yang dilakukan bukanlah berbaur perkauman tetapi demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat keseluruhannya.

Tiada ucapan sepanjang himpunan itu mahupun ketika kempen PRK DUN Seri Setia pihak terlibat membangkitkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Himpunan Melayu Bangkit hanya mahu menyedarkan orang Me­layu ancaman dan cabaran yang sedang mereka hadapi manakala UMNO-Pas pula mahu mewujudkan satu barisan pembangkang yang kuat.

Oleh itu mana-mana pihak tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut mahupun kerjasama UMNO-Pas. Bagi orang Melayu yang tidak mahu menyokong kedua-dua gerakan itu, duduklah diam-diam, teruskanlah menyokong siapa yang mereka mahu.

Tetapi mereka perlu faham, orang Melayu lain berhak bersuara mempertahankan kedudukan dan keistimewaan mereka serta memberi peringatan kepada pihak-pihak tertentu jangan melampaui batas dalam membuat tuntutan.

Sebab itulah seperti mana kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, perhimpunan seumpama itu hanya untuk menyedarkan orang Melayu bahawa hak dan kepentingan mereka semakin terhakis.

Tegas Asyraf Wajdi, orang Melayu perlu mempertahankan empat tiang seri tunjang kekuatan Melayu iaitu Islam agama Persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

Kata beliau, kalau empat tunjang tersebut longgar, hancur dan roboh, maka hancurlah negara.

“Kita tidak bermusuh dengan saudara-saudara kita bukan Islam atau mana-mana pihak, kita hanya minta empat perkara ini dipertahankan. Ini bukan rasis, ini hak kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu.

Atas sebab itulah, Tajuddin sebagai penggerak utama Himpunan Melayu Bangkit dengan tegas menyatakan, beliau tidak gentar dituduh rasis dan tidak takut apa-apa kerana perhimpunan itu bukan sahaja mengikut lunas undang-undang malah tidak mengancam sesiapa.

Bagaimanapun bagi penulis, perhimpunan tersebut dan PRK DUN Seri Setia dan Sungai Kandis membuktikan hakikatnya orang Melayu berupaya untuk bersatu hati demi memperjuangkan kepentingan mereka. Apa yang diperlukan ialah kesungguhan, keinsafan dan kesedaran bahawa orang Melayu akan sama-sama mengalami kerugian jika mereka terus berpecah belah dan berpuak-puak.

Justeru adalah penting perhimpunan seperti mana di Pasir Salak itu yang dicetuskan atas kesedaran demi kepentingan Melayu perlu diteruskan ke seluruh negara. Bukanlah bertujuan untuk mengganggu gugat sesiapa tetapi sekadar peringatan kepada semua pihak demi ke­amanan dan kedamaian bersama janganlah mengugat apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Namun begitu diharapkan selepas ini, janganlah perhimpunan seumpama itu hanya digerakkan oleh pe­mimpin UMNO sahaja, sebaliknya perlu melibatkan seluruh kepemimpinan parti politik Melayu khususnya Pas serta badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Usahlah takut akan dituduh rasis atau bimbang akan kehilangan sokongan kaum lain. Ia memandangkan sejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah membuktikan, siapa sebenarnya yang menyokong parti-parti Melayu.