Budi itu nilai dan darjatnya lebih tinggi daripada segala harta kekayaan hinggakan seseorang individu yang ‘menerima’ budi baik dari seseorang akan terus ‘berhutang’ budi tersebut sehingga ke hujung nyawanya. Lebih mulia daripada itu, budi baik yang dihulurkan akan terus dikenang, diingati dan dihargai walaupun insan yang menghulurkan budi tersebut telah tiada lagi di dunia ini.

Mengapa budi ini begitu tinggi nilai hingga memberi kesan besar kepada yang memberi dan menerimanya? Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan budi ini adalah sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan. Ia berkait secara langsung dengan akal, kebijaksanaan dan tingkah laku yang berakhlak mulia.

Budi adalah perbuatan yang meletakkan keikhlasan, rasa ingin membantu, prihatin dan kasih-sayang sesama insan yang menggerakkan diri kita untuk membantu insan lain. Harus diinsafi bahawa budi itu tidak diukur pada perbuatan yang besar semata-mata, perbuatan yang kecil juga tetap dikira sebagai budi.

Di dalam Islam, membuat kebaikan itu sesuatu yang amat dituntut, ditekankan dan diberi ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya.

Salah satu daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menyentuh pada hari akhirat kelak terdapat tujuh pihak yang diberi naungan oleh Allah SWT yang mana pada hari itu tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Daripada tujuh pihak tersebut, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa siapa saja yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi ibarat tangan kiri tak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanan, maka dia termasuk salah satu di dalamnya.

Allah SWT turut berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

Dalam konteks kekeluargaan, budi kedua orang tua membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang, ibarat menatang minyak yang penuh tidak mampu kita balas. Atas sebab itu penulis cukup tersentuh hati, kecewa dah marah apabila melihat ada anak-anak yang sanggup mengabaikan orang tua mereka apabila sudah selesa dan berjaya dalam kehidupan.

Melihat kepada konteks keilmuan, jangan kita lupa pada insan yang mengajar dan mendidik kita dengan penuh sabar serta penuh kesungguhan. Kita mengenali mereka sebagai guru di sekolah dan pensyarah apabila di universiti.

Insan yang ibarat dian membakar diri ini amat besar budinya pada kita kerana ilmu yang ‘diperturunkan’ itulah yang memberi manfaat besar pada kita. Budi para anggota keselamatan seperti tentera dan polis amat besar dan tak terhitung. Mereka meletakkan nyawa sebagai gadaian apabila bertugas demi memastikan kedaulatan dan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Negara juga telah melalui pilihan raya umum yang bersejarah pada Mei lalu yang membawa ke ‘musim’ Malaysia Baharu. Pertukaran kerajaan atas pegangan pada nilai demokrasi dan suara rakyat itu harus diterima. Tetapi kurang sopan untuk menidakkan kerajaan dan pimpinan terdahulu yang turut ada budinya pada negara ini. Jangan kita terlalu ghairah menghina dan mencerca orang di bawah apabila sudah berada di atas kerana orang tua selalu memperingatkan ‘hidup ini umpama roda, sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah’. Biarlah kita menjadi ‘manusia yang mati meninggalkan nama.”

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.