Mahkamah Agung negeri membuat keputusan 5-0 untuk membersihkan nama Jordan Brown yang kini berusia 20 tahun daripada salah laku berhubung pembunuhan Kenzie Houk, 26, yang ditemukan mati di rumah keluarga tersebut di Pennsylvania, menurut peguamnya.

Keputusan akhir itu sekali gus mengetepikan perintah hakim mahkamah juvenil di Lawrence County dan mahkamah rayuan negeri yang mengekalkan keputusan bahawa Brown didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang bayi yang belum lahir.

Mahkamah berkata, pihak pendakwaan tidak menyediakan bukti secukupnya untuk menyokong perkara itu.

Hakim yang membidas kekurangan bahan bukti berkata, antara lain keterangan dalam perbicaraan yang merujuk selaras senapang di dalam bilik tidur Brown sebagai senjata pembunuhan yang ‘disokong oleh kesimpulan munasabah’ sebenarnya bukanlah senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Houk ditemukan terba-ring berlumuran darah di atas katil dengan kesan tembakan senapang di bahagian belakang kepalanya.

Brown dibicarakan sebagai pesalah juvenil selepas peguamnya membantah keputusan asal hakim untuk membicarakannya sebagai seorang dewasa.

Salah seorang peguam mewakili Brown, Kate Burdick berkata, Brown yang dirujuk dalam dokumen mahkamah sebagai J.B., kekal mengaku tidak bersalah sejak pembunuhan itu dan kini menerima ‘keadilan yang tertangguh sejak sekian lama’.

“Walaupun kami tidak dapat mengembalikan semula zaman kanak-kanak J.B., kami gembira Mahkamah Agung telah membersihkan namanya agar dia dapat meneruskan kehidupan dengan produktif,” kata Burdick.

Burdick tidak menyatakan di mana Brown berada tetapi memberitahu bahawa anak guamnya itu tidak berada dalam tahanan dan telah memenuhi semua matlamat pemulihan.

Pada tahun 2016, seorang hakim memerintahkan Brown diletakkan di dalam pengawasan dan kawalan oleh seorang bapa saudaranya, yang tinggal di Ohio.

Pengawasan di bawah mahkamah juvenil terhadap Brown akan berakhir dalam beberapa minggu lagi apabila dia mencecah usia 21 tahun.

Peguam Brown yang memperjuangkan kes itu sehingga ke Mahkamah Agung pada tahun 2014 telah mendapat perintah yang memberikan mereka peluang baharu untuk berhujah bahawa tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh.

Dua anak perempuan Houk yang berusia empat dan tujuh tahun semasa kematian ibunya, tinggal bersama datuk dan nenek mereka.

Mengimbas pada hari kejadian tersebut, Chris Brown iaitu bapa kanak-kanak tersebut, telah pergi bekerja dengan meninggalkan Houk bersama tiga kanak-kanak itu sebelum Brown dan anak perempuan sulung mangsa menaiki bas sekolah.

Mayat wanita itu ditemukan oleh anak perempuan bongsu mangsa yang kemudian telah memberitahu seorang anggota pasukan penebangan pokok yang tiba untuk menyelesaikan kerja-kerja mengumpul kayu api dari kawasan hutan di hadapan rumah tersebut.

Keputusan mahkamah menyatakan, pihak polis mencari bekas teman lelaki Houk kerana dia mempunyai sejarah melakukan ugutan jenayah terhadap wanita itu.

Malah Houk, ibu bapanya, kakak dan abang iparnya mempunyai perintah larangan kekal daripada mahkamah ke atas lelaki terbabit, menurut dokumen mahkamah tersebut.

Dua minggu sebelum pembunuhan Houk, bekas teman lelakinya menerima keputusan ujian paterniti yang menunjukkan bahawa anak perempuan bongsu Houk sebenarnya bukan anak kandungnya.

Malam sebelum pembunuhan tersebut, lelaki itu telah bersemuka dengan ibu bapa Houk di sebuah kelab malam, menyebabkan dia dihalau keluar dari kelab itu.

Brown memberitahu polis, semasa berjalan keluar dari pintu rumah ke bas sekolah, dia ada melihat sebuah trak pikap berwarna hitam yang menyerupai trak milik bekas teman lelaki Houk yang diletakkan di garaj.

Walau bagaimanapun menurut dokumen mahkamah, lelaki tersebut tidak tersenarai sebagai suspek.

Pihak pendakwa sebelum itu mendakwa bahawa Brown berasa dipinggirkan oleh keluarganya selepas kehadiran Houk dan mengemukakan beberapa keterangan mengikut keadaan, termasuk kesan sisa tembakan di pakaiannya dan sarung peluru yang baru digunakan ditemukan di jalan menuju ke bas. – AGENSI