Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Sahidan Jaafar, ahli ekonomi Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali menjelaskan beliau sendiri pernah menyuarakan isu itu kira-kira dua tahun lalu dan mencadangkan supaya menilai semula bantuan tersebut ketika menganggotai panel konsultan bajet ekonomi negara.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, walaupun BR1M tujuannya baik tetapi memerlukan beberapa penilaian semula golongan manakah sebenarnya yang amat memerlukan bantuan tersebut berbanding kaedah sedia ada yang hanya memfokus atau mensasarkan kepada golongan B40 semata-mata.
Menurut Noor Azlan lagi, inikerana BR1M yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu merupakan suatu tindakan afirmatif yang terdedah kepada masalah dan gangguan moral kepada para penerimanya. “Kita kena ingat tidakan afirmatif ini wujud sebab kita merasakan kuasa pasaran tak boleh selesai masalah ini. Itu puncanya. Afirmatif bermaksud kerajaan interven dalam pasaran dan cuba menyelesaikan masalah secara yang non konvensional target kepada kumpulan berpendapatan yang digariskan sebagai B40.
“Jadi seluruh ahli ekonomi bersetuju market fairlures(kegagalan pasaran) adalah justifikasi yang tepat kenapa ada tindakan afirmatif termasuk juga isu bumiputera.
“Jadi bila mana-mana kerajaan yang memperkenalkan tindakan afirmatif, maka tindakan itu biasanya terdedah kepada masalah gangguan moral (moral abuse) yang mungkin antaranya membentuk sikap yang tidak betul (negatif) kepada penerima BR1M,” katanya.

 

MNGGUAN: Pada pandangan Tan Sri apakah faktor-faktor yang telah mendorong kerajaan PH untuk menilai dan mengkaji semula BR1M selepas diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu?

NOOR AZLAN: Sebenarnya ada beberapa isu yang mendorong kerajaan PH untuk mengkaji semula BR1M. Isu-isu ini perlu kita bincangkan dan perhalusi terlebih dulu contohnya takrifan golongan manakah yang paling layak menerima bantuan BR1M.

Bila kata golongan B40 saja, seolah-olah semua mesti percuma, mesti murah, semacam satu tuntutan pula jadi haknya. Jadi, secara mendalam, setelah BR1M diperkenalkan, sebenarnya dalam dua tahun lepas saya sendiri pernah cadang dalam konsultan bajet untuk menilai semula BR1M.

Tapi, saya secara umumnya bukan baru (bukan semasa Tun Dr. Mahathir umumkan kaji semula BR1M baru-baru ini) saya sudah mula melihat walaupun tujuannya itu baik tetapi yang menjadi cabaran adalah kelangsungannya (sustainability).

Dan saya kira dalam beberapa perjumpaan saya pernah dengar daripada kerajaan dahulu pun, bolehkah kita teruskan? Boleh atau tidak kita terus membuat bayaran yang sedemikian.

Saya rasa kerajaan hari ini mungkin cuba hendak sampaikan (kepada rakyat) bahawa kerajaan hendak menilai semula BR1M dan bagaimana kita boleh membantu kumpulan pendapatan rendah ini.

Mengapa BR1M hanya menyasarkan kepada golongan B40 dan kategori miskin sahaja tetapi tidak kepada golongan yang benar-benar layak?

NOOR AZLAN: Perkataan B40 timbul bila? Saya masa itu dipinjamkan ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Antara masalah yang timbul masa itu Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi negara secara purata agak baik sekitar purata 6 peratus. Pendapatan perkapita meningkat.

Kalau dari tahun 1980-2016, pendapatan meningkat tiga kali ganda. Dari segi ekonomi dianggap baik. Ekonomi negara pun meningkat lapan kali ganda sejak 1980 hingga sekarang. Daripada RM148 bilion meningkat kepada RM1.2 trilion. Ini adalah saiz ekonomi negara sejak tahun 1980-2016.

Persoalan yang saya timbulkan pada masa itu ialah siapakah yang dapat manfaat? Macam mana pengagihan ataupun dari segi siapa yang dapat mengecapi nikmatnya.

Pembentukan struktur pendapatan sejak 1990, kumpulan pendapatan tinggi mendapat manfaat daripada ekonomi. Dari situ timbullah B40. B40 pendapatan RM3,000 pada 2016. Golongan M14 (RM6,275) dan T20 (RM13,148).

Sebenarnya tidak semua golongan B40 ini benar-benar miskin. Apa pendapat Tan Sri?

NOOR AZLAN: Bila fokus kepada B40 kita jangan keliru antara golongan pendapatan rendah dan miskin. Ini dua benda yang berbeza. Jadi kadang-kadang masyarakat terlebih takrif. Dia membayangkan yang B40 adalah orang miskin. Sebenarnya tidak.

B40 ini adalah kumpulan berpendapatan rendah. Kemiskinan di Malaysia sudah hampir sifar kalau kita pakai garis kemiskinanlah. Tapi pastilah kalau kita banding B40 dengan T20, adalah relatif.

Secara relatif nampaklah dia miskin. Tetapi dia bukan dalam kategori kemiskinan. Jadi, kemudian kerajaan dahulu (semasa BN) mengambil istilah B40 ini dalam belanjawan. Pelbagai program dibuat untuk meredakan ataupun membantu golongan B40.

Dan seingat saya, BRIM ini kalau mengikut yang telah diumumkan dulu, adalah idea yang dijana oleh Bank Negara Malaysia. Maksudnya idea ini dijana berdasarkan faktor-faktor ekonomi iaitu pemberian tunai kepada kumpulan yang dikatakan sebagai B40 dan digunakan satu garisan pendapatan dan kemudian diperkenalkan pula untuk mereka yang masih bujang.

Apakah semangat BR1M tercapai setelah diperkenalkan dan sejauh manakah keberkesanan BR1M ini kepada golongan B40?

NOOR AZLAN: Kalau kita tengok apa tujuannya dibuat pembayaran tunai? Ia tidak menyelesaikan masalah. BR1M bukan penyelesaian kepada masalah. BR1M yang diperkenalkan dulu bukan penyelesaian kepada masalah tetapi ia lebih menumpukan kepada untuk meringankan, mengurangkan beban ataupun membantu golongan B40 untuk mengecapi hidup dengan lebih selesa.

Dalam masa yang sama juga dibayangkan bahawa apabila wang tunai sampai kepada kumpulan masyarakat yang sebegini, dari segi istilah ekonomi ia akan masuk balik ke dalam ekonomi semula dengan cepat. Ini multiplier effect (kesan berganda).

Maksudnya, bila seseorang berbelanja seringgit kesan kepada ekonomi lebih daripada seringgit. Bila saya belanja anda dapat pendapatan. Bila anda belanja saya dapat pendapatan. Jadi dalam ekonomi ada istilah multiplier effect.

Jadi bererti ia juga berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Kalaulah tak besar pun ada kesannya. Rangsangan itu kadang-kadang bersifat lokal (tempatan). Iaitu berbelanja di mana dia berada. Itulah semangat BR1M pada asalnya.

Jadi BR1M lebih menjurus kepada kesan negatif daripada positif dari segi jangka panjang?

NOOR AZLAN: Seperti yang saya katakan tadi BR1M boleh mencetuskan gangguan moral atau sikap tidak sihat kepada penerimanya.

Perkara-perkara begini membentuk sikap yang saya baca kenyataan Tun (Dr. Mahathir) kemungkinan saya membayangkan bahawa kalau sikap ini semakin berleluasa akan mewujudkan sikap-sikap negatif (kepada rakyat Malaysia).

Misalnya, mereka rasa saya tak perlu buat apa-apa saya dapat. Yang saya perlu ialah jadi miskin. Jadi semua orang nak jadi miskin. Dan adalah tindakan-tindakan manipulatif juga. Contohnya dia (penerima) tak mengaku ada sumber pendapatan.

Di Malaysia pula kita ada sektor informal, misalnya orang berniaga contohnya berniaga nasi lemak, berniaga goreng pisang. Pendapatan mereka mungkin tinggi, tetapi dia tak umumkan. Jadi dia dapat (BR1M). Jadi mula orang tengok, kenapa dia dapat?

Tengok rumah dia dah ada semua tapi penerima BR1M. Ada pula dalam anak beranak dalam satu keluarga dapat BR1M. Anak pula masih muda, remaja. Dia rasa hak dia.

Namun demikian, kita tidak nafikan ada kumpulan-kumpulan yang sewajarnya kita tolong. Kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), kumpulan warga emas yang betul-betul terperangkap dalam kemiskinan.

Satu penerima satu lagi yang memberi. Sebab program ini yang dibuat oleh kerajaan kemungkinan ada unsur-unsur kepentingan peribadi. Dalam konteks yang menerima ini ada yang hakiki miskin, susah, OKU, warga emas, sebatang kara. Bila keluar kenyataan mengatakan BR1M seolah-olah rasuah, saya rasa masyarakat terasa.