Seringkali kita disaran agar menjadi pekerja yang baik, ber­disiplin dan berkualiti yang menjadi dambaan para majikan atau bos. Bagaimana pula dengan bos yang menjadi dambaan pekerja? Kisah seorang usahawan dari India, Sayji Dholakia yang menghadiahkan 600 unit kenderaan Renult KWID dan Maruti Suzuki Celerio kepada pekerjanya mendapat perhatian baru-baru ini.

Beliau juga menghadiahkan wang tunai dan apartmen kepada 1,700 orang stafnya sempena Deepavali. Sebelum itu, beliau menghadiahkan kereta Mercedes Benz SUVs kepada tiga orang staf senior yang berkhidmat selama 25 tahun. Sayji dilaporkan sering memberikan hadiah kepada stafnya sebagai tanda penghargaan.

Sayji adalah contoh bos yang menjadi dambaan sebagai pekerja. Dia menunjukkan contoh teladan baik dengan berkongsi keuntungan syarikatnya dengan pekerja. Walau bagaimanapun, bukan semua majikan mampu berbuat se­perti Sayji yang kaya raya. Jika kita dilantik sebagai bos dalam organisasi yang bukan milik kita, sudah tentu kita tidak dapat memberikan hadiah semewah itu.

Namun, itu bukan bererti kita tidak boleh berbuat baik kepada pekerja bawahan kerana pekerja ialah aset kepada organisasi, justeru kebajikan mereka perlu dijaga dari awal mereka masuk bekerja sehinggalah mereka meninggalkan organisasi.

Dalam buku Management Challenges For Tommorow’s Leaders oleh Goodman dan rakan-rakan pada 2016 mencadangkan beberapa ciri seorang ketua yang baik. Antara ciri yang disarankan adalah ketaatan ketua kepada Allah SWT. Seorang ketua yang mentaati Allah SWT akan disenangi pekerjanya kerana tidak sombong, ego dan boleh menerima pendapat orang lain. Penentuan objektif atau matlamat organisasi pula hendaklah memberi faedah kepada semua ahli dalam organisasi.

Ini perlu bagi mengelakkan ketua daripada menentukan matlamat hanya untuk kepentingan organisasi atau faedah untuk dirinya sendiri. Segala keputusan dan tindakan dalam organisasi pula perlu dibuat berlandaskan hukum syariah dan ajaran Islam bagi menge­lakkan pekerja ditindas dan dilakukan sewenang-wenangnya.

Di samping itu juga, ketua juga disarankan mengamalkan konsep syura iaitu berbincang dalam membuat keputusan bagi mengelakkan mengambil tindakan sendiri. Seorang ketua yang baik juga mesti berlaku adil dalam memberikan tugasan, ganjaran mahupun pujian kepada pekerjanya. Ketidakadilan akan menyebabkan pekerja lain memberontak dan rasa dipinggirkan. Konsep komunikasi terbuka perlu diamalkan bagi memberi peluang kepada pekerja menyatakan pendapat, berkongsi masalah dan pandangan serta terlibat dalam membuat keputusan.

Sebenarnya bukan mudah menjadi seorang bos, lebih-lebih lagi bos dambaan pekerja. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita terdedah melakukan kesilapan. Justeru, hendaklah sentiasa berwaspada akan tindakan lebih-lebih lagi di zaman teknologi canggih sekarang ini, dalam sekelip mata sahaja semua tindak tanduk boleh dikongsi dalam laman sosial dan menjadi tatapan umum. Penulis teringat kata-kata gurauan seorang teman- “ Siapa pun jadi bos semua orang tak suka, siapa suka bos?” Mungkin ada benarnya kata-kata-tersebut. Justeru, jika kita menjadi bos, cubalah menjadi bos dambaan pekerja!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan juga Koordinator Institut Pendidikan NEO di UiTM Kampus Pasir Gudang.