Terbaharu, lima sekeluarga rentung. Kelmarin, sebuah lori dipandu secara melawan arus, satu perbuatan yang boleh dianggap tidak waras. Kementerian Pengangkutan perlu melakukan sesuatu bagi mendisiplinkan pemandu lori yang sesetengahnya menganggap kenderaan mereka sebagai 'raja’ di jalan raya.

Mungkinkah undang-undang yang ada tidak mampu menyedarkan pemandu? Operasi memerangkap lori yang tidak mematuhi peraturan perlu dilakukan. Tanpa penguatkuasaan, akta dan peraturan tidak mampu mencegah kesalahan.

Ada juga lori yang membawa muatan batu atau pasir secara berlebihan. Kadang-kadang batu jatuh dan terkena cermin kenderaan lain. Sejauh mana lori atau treler mematuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan?

Timbul persoalan sama ada sikap pemandu lori ini adalah disebabkan hukuman yang ada tidak memberi kesan. Sikap pemandu amat penting di samping memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Awang tertanya-tanya adakah selama ini tindak tanduk mereka 'diabaikan’, tidak seperti pemandu kereta yang diawasi oleh perangkap laju. Ada juga pemandu lori yang mempunyai kesalahan trafik dalam jumlah yang banyak masih bebas memandu. Di mana silapnya undang-undang?

AWANG – Bimbang aksi lori simen.