Ya, memang menyedihkan nasib yang menimpa gabungan itu selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu. Kini tinggal tiga berbanding suatu ketika dahulu terdiri 13 parti komponen.

Begitupun Awang percaya kesediaan MCA dan MIC untuk kekal memperjuangkan nasib rakyat bersama UMNO dan Pas dapat mencetuskan impak kehadiran pembangkang yang kuat.

Ini bagi memastikan hak rakyat sentiasa dijaga dan pembangunan negara dapat diteruskan dengan jayanya.

Poses semak dan imbang perlu dilakukan terhadap kerajaan hari ini. Cuma ia tidak boleh dilakukan jika pembangkang tidak bersatu hati, saling bertelagah dan yang paling teruk meninggalkan terus pasukan yang dibentuk sejak selesai pilihan raya.

Pembangkang yang kuat penting untuk memastikan kerajaan tidak cuai dan leka dalam menjalankan fungsi pentadbiran negara serta memberi khidmat mereka kepada rakyat.

Malah, pembangkang boleh menasihati kerajaan sekiranya terdapat kesilapan dalam proses urus tadbir.

Dan sebaik-baiknya kerajaan juga harus mengubah mentaliti dan pandangan mereka terhadap kehadiran pasukan pembangkang yang kuat.

AWANG - Bukan sembang kosong.