Komitmen ke arah itu jangan lagi dianggap retorik atau mustahil untuk dijayakan. Sebaliknya yakinilah ia satu-satunya jalan ke arah menjadikan bangsa Melayu lebih bermaruah, ada jati diri dan berwibawa di masa depan.

Awang akur orang Melayu gemar berpolitik. Banyak parti teras Melayu pun tak mengapalah. Tujuh, lapan sehingga 10 pun okey lagi.

Tetapi biarlah berpolitik itu mengikut model orang lain yang terarah dan tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.

Begitu pun Awang berpegang kepada satu perkara ini - nilai-nilai murni yang diunjurkan Islam sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu Islam.

Ia terutama buat pemimpin-pemimpin Melayu yang jika tidak diamalkan nilai-nilai positif ini, seolah-olah kita lupa batas agama. Akibatnya orang Melayu terus berpecah-belah dan bertelingkah sesama sendiri.

Dan pastinya ada pihak mendapat keuntungan, sekali gus menyebabkan Melayu hilang segala-galanya, baik dari segi hak beragama, ekonomi, politik dan pendidikan.

Rakyat tentu tidak mahu melihat orang Melayu merempat di tanah tumpah darah sendiri.Ruginya siapa nanti? Anak cucu cicit kita juga.

AWANG – Berterus terang, tidak retorik.