AWANG amat mengharapkan para pemandu yang akan pulang ke kampung halaman pada musim perayaan ini dapat menghayati kempen Pandu Cermat Sampai Selamat. Memandulah secara berhemah supaya tiba di destinasi untuk berhari raya bersama keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.
Jangan biarkan sambutan hari raya dalam keadaan suram disebabkan kematian atau kecederaan anggota keluarga akibat kemalangan. Buang sikap tidak sabar di jalan raya. Patuhilah had laju yang ditetapkan dan hormati pemandu lain.
Hargailah usaha kerajaan untuk mengurangkan kemalangan melalui Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu yang bermula hari ini. Pelbagai kempen dan peringatan dibuat tetapi kejayaan terletak kepada sikap pemanduan. Justeru, patuhilah arahan yang dikeluarkan termasuk cadangan perjalanan.
Semua pihak juga perlu menghentikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di jalan raya bagi memastikan pergerakan kenderaan berjalan lancar. Kenderaan berat juga perlu menghentikan operasi mereka pada dua hari sebelum dan selepas hari raya.
Awang juga menyambut baik langkah tegas terhadap pemandu dan pengusaha syarikat bas ekspres yang akan beroperasi pada musim perayaan ini. Memang lebih banyak bas diperlukan tetapi keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan. Tidak ada kompromi bagi pemandu yang memiliki saman, bas tidak diselenggara dan pemandu terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
AWANG - Pilih waktu perjalanan sesuai.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 26 JANUARI 2019