Tetapi dalam kes terbaharu melibatkan penghinaan ke atas Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak harus dibiarkan. Walaupun individu terlibat sudah memohon maaf ‘atas keterlanjurannya’ tetapi ia bukan bermakna kes itu harus ditutup begitu sahaja.

Persoalannya, tidakkah individu tersebut tidak tahu kesan akibat kebiadabannya? Atau dia berasa sudah besar kepala dengan berpendapat pihak berkuasa tidak akan berani bertindak?

Awang tidak mahu membuat spekulasi, tetapi yang pasti permohonan maaf bukan bermakna kes sudah selesai. Individu seumpama itu perlu disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya jangan cuba menjolok sarang tebuan.

Awang memuji langkah majikan individu tersebut yang akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana menghina Sultan Muhammad V. Awang berharap siasatan benar-benar dijalankan kerana perbuatan individu berkenaan telah mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.

Justeru sebelum keadaan menjadi lebih parah, pihak berkuasa perlu bertindak segera manakala majikan individu tersebut harus melakukan apa yang patut.

AWANG - Benci perbuatan biadab.