Janganlah kerana berbeza fahaman dan ideologi politik, ada dalam kalangan kita sudah kehilangan adab sehingga mahu mengambil kesempatan untuk mengecam. Hakikatnya itu ujian Allah SWT terhadap beliau.

Oleh itu Awang bersetuju dengan coretan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam Twitternya antara lain menegaskan, sebagai bapa, beliau turut bersimpati apa yang berlaku kepada Mohamad Sabu.

Kata Zambry, beliau belajar untuk tidak memaki hamun, menghina orang atau berkata, “padan muka kau”. Justeru kepada mereka yang masih mahu mengecam Mohamad Sabu, Awang nasihatkan hentikanlah ‘kerja-kerja bodoh’ itu, tidak ada faedah pun, sebaliknya hanya menambah dosa

Hari ini mungkin hari beliau, hari kita diuji Allah SWT tidak tahu bila pula. Jangan sampai esok kita pula menjadi mangsa kecaman. Biarlah kes anak Menteri Pertahanan itu diuruskan oleh polis. Mohamad Sabu pun sudah menegaskan, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan kes anaknya itu mengikut proses undang-undang sedia ada. Jadi apa perlunya ada antara kita hendak mengambil kesempatan memaki hamun beliau.

Apapun Awang berdoa dan berharap supaya Mohamad Sabu sekeluarga akan sentiasa tabah menghadapi dugaan Allah SWT ini. Awang yakin tindakan anaknya yang berusia 31 tahun itu tiada kaitan dan sama sekali Mohamad Sabu tidak boleh disalahkan.

Awang - Sentiasa doa yang terbaik