Bagi Awang, ia adalah langkah tepat untuk menentukan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut yang kini sudah sampai pada tahap memfitnah pemimpin parti itu walaupun Pas akan membuat sidang akhbar pada 11 Februari ini berhubung isu tersebut.

Selepas ini, Awang berharap jika ada mana-mana kes saman diselesaikan di luar mahkamah melibatkan tuduhan pemberian wang, SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan. Ini bagi memastikan pihak yang terlibat tidak menjadi mangsa fitnah atau tohmahan. Bagaimanapun sementara kita menanti hasil siasatan SPRM. Awang berharap pihak yang kononnya berpegang kepada rule of law tidak membuat sebarang kesimpulan apatah lagi mempolitikkan isu (kes) tersebut. Kalaupun ia berlaku, Awang tidak terkejut kerana tidak mustahil isu ini akan dipolitikkan habis-habisan bagi memburuk-burukkan Pas yang kini bekerjasama dengan UMNO.

Pada masa sama, Awang berharap apabila siasatan selesai, sama ada kes atau tidak, SPRM akan mengumumkan status tersebut. Jangan biarkan begitu sahaja sehingga menimbulkan lebih banyak spekulasi sehingga menjejaskan imej Pas.

Tidak perlulah buat tuduhan, biarpun Awang tahu ada pihak semakin terdesak mahu meraih sokongan rakyat akibat populariti merudum.

Awang – Tak terkejut.