Alhamdulillah, sekali lagi dengan izin Allah SWT, kita meraikan kehadiran Aidilfitri penuh ketenangan dan keceriaan. Nasib kita jauh lebih baik daripada saudara-saudara Islam lain yang ada antara mereka mungkin tidak menyambut hari kemenangan umat Islam ini selepas berpuasa selama sebulan kerana negara mereka dilanda konflik.

Awang berharap, sempena Aidilfitri ini, jadikanlah ia sebagai platform untuk merapatkan silaturahim khususnya mencetuskan momentum penyatuan demi perpaduan ummah.

Jadikan juga tradisi rumah terbuka untuk kita mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Awang percaya semua rakyat ini tanpa mengira kaum dan agama mahu hidup aman dan tenteram serta menyambut perayaan masing-masing dengan penuh ketenangan.

Justeru marilah kita bersama-sama menyambut Aidilfitri ini dengan semangat persaudaraan dan persahabatan demi mengekalkan keamanan Malaysia tercinta ini.

Dan sekali lagi Awang ingin ingatkan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasalah berwaspada dan berhati-hati. Kegembiraan yang disambut biarlah berterusan.

AWANG – Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.