Keberangkatan mereka bermakna bermulalah musim haji bagi tahun ini. Selain itu tahniah juga diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji yang saban tahun melakukan tugas cemerlang dan pelbagai pembaharuan.

Ini bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji kita yang mencecah lebih 30,000 orang.Apapun Awang berharap jemaah kita banyak bersabar dalam menempuh apa juga cabaran kerana di tanah suci nanti banyak dugaannya.

Jangan mengharapkan kehidupan selesa seperti mana di tanah air. Di sana suasana berbeza sama sekali.

Kita mungkin akan menginap satu bilik dengan orang yang kita tidak kenali dan berhadapan dengan pelbagai kerenah jemaah dari pelbagai negara lain seluruh dunia.

Tetapi apa yang penting ialah “sabar, sabar, sabar”, itulah pesanan Awang berdasarkan pengalaman dilalui ketika menunaikan ibadah itu beberapa tahun lalu.

Semoga Allah SWT memberkati kerana kesabaran itu akan membolehkan jemaah kita mendapat haji mabrur.

AWANG – Sentiasa rindu tanah suci.