Seperti mana perayaan-perayaan kaum lain sebelum ini, Awang berharap ia akan terus dijadikan platform bagi mengukuhkan perpaduan sesama kita. Sesungguhnya Malaysia adalah unik, kita hidup rukun dan damai walaupun berbilang bangsa.

Keistimewaan ini harus dikekalkan dan tidak boleh dibiarkan diganggu gugat oleh sesiapa atas apa juga tujuan. Mungkin sedikit sebanyak kita berbeza dari segi fahaman politik tetapi dalam soal menjaga perpaduan, kita harus bersama-sama memeliharanya.

Jangan biarkan ada mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh atau cuba menjadikan isu perkauman sebagai bahan bagi meraih sokongan politik. Tidak salah untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing tetapi jangan melampaui batas.

Pada masa sama, Awang berharap pengguna-pengguna media sosial tanpa mengira bangsa harus berhati-hati apabila mahu memperkatakan sesuatu dalam medium tersebut. Janganlah cetus kebencian apatah lagi unsur perkauman.

Tidak perlu melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ dengan memperlekeh mana-mana institusi sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Awang yakin seluruh rakyat Malaysia mahu hidup aman damai, oleh itu jangan biar ada `tangan-tangan kotor’ mengganggu gugat impian itu. Ini negara kita, ini tanah air kita, oleh itu marilah sama-sama menjaganya.

AWANG - Selamat Tahun Baharu Cina