Saifuddin amat memahami tanggungjawab berat beliau dalam memimpin sebuah kementerian yang dianggap ‘kementerian rakyat.’ Ia memandangkan kementerian itu bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal pengguna terutama dari segi harga barangan. Apabila barang-barang naik, sudah pasti kementerian Saifuddin akan menjadi sasaran, justeru tindakan tegas Bahagian Penguat Kuasa kementerian berkenaan amat penting bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada peniaga tamak.

Awang ucap tahniah kepada Saifuddin kerana memastikan bahagian berkenaan proaktif melakukan pemeriksaan ke atas premis dan pembukaan kertas siasatan dalam membanteras kes seumpama itu. Seperti mana beliau bentangkan semalam, sejak tahun lepas hingga sekarang, sebanyak 550,000 buah premis telah dibuat pemeriksaan dan pemantauan dengan 11,281 kertas siasatan dibuka bersama nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM49.04 juta.

Oleh itu Awang berharap menjelang sambutan Ramadan dan disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan lebih aktif lagi memantau peniaga-peniaga. Ia bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika musim perayaan.

AWANG - Benci peniaga tamak.