Fitnah sememangnya perbuatan bahaya. Ia boleh dianggap menjadi salah satu punca yang boleh menyebabkan negara huru-hara. Perbuatan ini semakin menjadi-jadi sejak tercetus ledakan teknologi maklumat khususnya apabila adanya laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah menjadi bukti bagaimana terdapat terlalu banyak berita tidak benar atau fitnah disebarkan sehingga ia akhirnya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu gejala  fitnah tidak boleh diremeh oleh mana-mana pihak. Apabila Raja-raja Melayu sudah bersuara, ia memberi isyarat bahawa sesuatu yang tegas perlu dilakukan khususnya dari segi penguatkuasaan undang-undang.

Bagaimanapun siasatan rapi perlu dijalankan untuk memastikan sama ada sesuatu berita atau bahan yang tersebar fitnah atau tidak. Ini memandangkan sejak kebelakangan ini banyak benar yang dinafikan tetapi kesudahannya ia adalah betul.

Segalanya berlaku kerana kita sudah berada pada zaman fikiran manusia dikelirukan dengan situasi “yang benar itu batil, yang batil itu benar.”

AWANG - Sebar berita.