Memang benar demokrasi memberi kebebasan untuk bersuara tetapi ada batasnya. Mereka boleh bercakap, menulis dan melapor pelbagai peristiwa tetapi jangan sampai menghasut sehingga akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati atau kemarahan kaum.

Cukuplah insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini dijadikan iktibar yang amat berguna.Hentikan sebarang bentuk provokasi yang mengundang kemarahan. Media sosial hari ini tidak mampu menyekat kebebasan ‘bersuara’ tetapi sebagai rakyat yang cintakan keamanan, mereka perlu lebih berhati-hati.

Berhenti berkongsi maklumat yang kadang-kadang tidak ada asasnya. Jadilah rakyat yang antiberita tidak benar atau meragukan lebih-lebih lagi yang boleh mengundang hasutan atau tindak balas yang lebih buruk. Keselamatan dan kestabilan negara adalah keutamaan bersama.

Awang berharap, semua pihak menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Usah menuding jari atau cuba menegakkan benang yang basah. Kepada pemimpin termasuk orang politik perlu mengelak terbabit di dalam aktiviti yang boleh dianggap menghasut. Pemimpin perlu menjadi pendamai bukan pencetus kontroversi. Usah cuba menangguk di air keruh.

AWANG - Bersuara jika perlu.