Saranan ini seharusnya disambut semua kerajaan negeri. Ia boleh dianggap kesinambungan kempen ikrar bebas rasuah yang dianjurkan oleh SPRM di bawah kepemimpinan Tan Sri Dzulkifli Ahmad suatu ketika dahulu.

Oleh itu Awang berpendapat, tiada masalahnya jika ia diteruskan pula dengan pengisytiharan harta kepada SPRM. Tindakan ini akan mampu menghapuskan sebarang persepsi atau spekulasi berhubung kekayaan mana-mana pemimpin kerajaan negeri.

Dan ia juga harus diperluaskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti mana dilakukan di Perak. Cuma bezanya di negeri itu mereka perlu mengisytiharkannya kepada Speaker DUN sehingga mencetuskan kontroversi.

Saranan Latheefa itu perlu disambut oleh semua kepemimpinan kerajaan negeri. Awang percaya kalau tiada apa yang mahu disembunyikan, melakukan pengisytiharan harta bukanlah susah sangat.

Lagipun setakat ini Awang tidak dengar pula mana-mana ahli politik disiasat kerana membuat pengisytiharan harta walaupun antaranya sudah menjadi bualan ramai kerana dilihat `kaya luar biasa’. Apapun mungkin itu rezeki individu berkenaan.

AWANG – Hanya isytihar hutang.