Malaysia pernah memenangi emas acara antara regu itu pada 1990 di China dan 1994 di Jepun. Walaupun pencabar pasukan Malaysia bukanlah ‘raja takraw’ iaitu Thailand tetapi semangat yang ditunjukkan regu negara cukup hebat.

Tugas berhadapan dengan ribuan penyokong tuan rumah, Indonesia amat menguji kesabaran dan tumpuan trio Malaysia. Kesungguhan mereka amat dihargai. Diharapkan kejayaan ini akan menjadi pendorong untuk sukan itu bangkit semula mengulangi sejarah kegemilangan yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Jangan biarkan sukan itu tertinggal di belakang pasukan yang pernah menjadi belasahan regu negara. Pelbagaikan aktiviti bagi memantapkan sukan ini. Kumpulan Utusan juga telah menganjurkan kejohanan takraw selama lapan tahun bagi mempopularkan sukan ini sambil melahirkan bakat-bakat baharu.

Awang masih ingat, sepak takraw antara tiga sukan teras yang digugurkan dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) tahun lalu. Tindakan itu satu cabaran. Terpulanglah kepada kepemimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), MSN dan Institut Sukan Negara untuk berganding bahu menaikkan semula prestasi skuad sepak takraw negara.

AWANG – Ingin lihat emas bertemu Thailand.