Daripada enam kesalahan itu, Awang perhatikan tiga yang kerap dilakukan pemandu adalah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat.

Walaupun berulang kali diingatkan tidak melakukan ‘perilaku remeh’ itu namun sesiapa pun akan bersetuju itulah tindak tanduk yang sering kelihatan di atas jalan raya.

Awang amat berharap tiada sebarang diskaun ditawarkan kepada pemandu terlibat. Lebih elok lagi pesalah ini dihadapkan ke mahkamah bagi melihat keseriusan mereka untuk mengubah sikap.

Kesalahan melanggar lampu isyarat contohnya berlambak sehingga mencatatkan ratusan kes setiap tahun.

Memandu di lorong kecemasan usah cakaplah, sehingga Awang sendiri menggaru kepala yang tidak gatal ini melihat kereta-kereta yang dipandu terlibat jenis mewah tetapi sikap pemandunya... alahai.

Awang tidak sabar-sabar lagi mahu melaporkan jumlah kes melanggar enam kesalahan ini. Nilai wang semata-mata tidak dapat mengubah sikap pemandu.

Sebaliknya penguatkuasaan undang-undang yang ketat sahaja satu-satunya cara menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

AWANG - Tukang catat, lapor.