Tiga perkara ini amat dekat dengan rakyat dan selama ini pun itulah keluhan yang sering kita dengar. Peningkatan kos sara hidup terus menghantui mereka. Kadar tol masih belum turun-turun manakala impian untuk memiliki rumah sendiri bagi sesetengah golongan hanya sekadar satu mimpi.

Oleh itu Awang berpendapat, memasuki tahun kedua pemerintahan Pakatan Harapan, tumpuan perlu diberikan kepada tiga perkara berkenaan, apatah lagi ia memang terkandung dalam manifesto pakatan itu ketika pilihan raya umum lalu.

Bagi Awang, sindrom untuk terus meletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu sudah berlalu. Sekarang adalah masa melangkah ke hadapan. Sebab itulah Daim yang membentangkan tiga perkara berkenaan. Beliau tahu itulah yang dinanti-nanti oleh rakyat.

Rasanya tidak susah untuk kerajaan memenuhi ketiga-tiga perkara tersebut. Apa yang penting, komitmen barisan Kabinet untuk bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merealisasikannya. Bukan mahu bersikap ‘salahkan lantai, bila tidak pandai menari’.

AWANG - Tahu cerita pasal tol.