Di kawasan perumahan Awang di Shah Alam, tiada langsung Jalur Gemilang dipamerkan di depan rumah. Ini amat berbeza semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu. Penuh di pagar rumah, bendera parti dan poster calon-calon yang mereka sokong.

Agaknya, berpolitik itu lebih penting berbanding makna mengecapi kemerdekaan negara. Sedangkan jika Malaysia ini tidak menjadi sebuah negara yang merdeka, mana mungkin kita dapat memilih pemimpin kita sendiri dan parti politik melalui pilihan raya umum.

Begitu juga di premis-premis perniagaan dan pejabat, mereka tidak teruja mengibarkan bendera Malaysia, tidak seperti hebatnya hiasan apabila menyambut perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas. Di jalan raya pun begitu juga, sehingga dalam tempoh berbaki empat hari ini jarang yang Awang dapat jumpa kenderaan-kenderaan yang mengibarkan atau mempamerkan Jalur Gemilang.

Sudah tidak terujakah kita menyambut hari kemerdekaan? Atau cukupkah kita sekadar mendengar lagu tema Hari Kebangsaan Ke-61 `Kita Punya Malaysia’ yang hari-hari berkumandang di corong radio. Itu saja.

AWANG – Hari-hari pandang Jalur Gemilang.