Kenyataan Nurul Izzah juga mengecewakan beberapa pemimpin PH yang turut mengecam beliau sehingga ada yang memberi isyarat seolah-olah mahu beliau meninggalkan pakatan itu.

Bagaimanapun Awang berpendapat ada isu lebih penting untuk diutamakan iaitu sementara pemimpin-pemimpin PH kecewa antara satu sama lain, rakyat jauh lebih kecewa kerana mereka melihat tiada apa-apa perubahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Oleh itu lebih baik jika babak ‘kecewa mengecewakan’ ini diterjemahkan dalam bentuk memberi tumpuan untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Tidak perlu berpolemik terlalu banyak soal kenyataan Nurul Izzah, mungkin ada benar kata beliau, apakah mahu memberi kritikan membina pun tidak boleh?

Apapun Awang berharap, polemik kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dihentikan. Tumpulah perhatian bagi memperbaiki prestasi kerajaan dalam berkhidmat rakyat.

Jangan biarkan rakyat berasa muak dengan politiking yang tidak berkesudahan kerana ia pasti sesuatu tidak baik untuk kerajaan.

AWANG -Sudah lama kecewa.