Walaupun jumlah mereka yang terlibat tidak ramai namun ia sedikit sebanyak menjejaskan pasukan keselamatan tersebut sehingga akhirnya orang mengaitkan polis dengan amalan rasuah.

Awang bersimpati dengan ribuan lagi pegawai dan anggota pasukan itu yang bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab penuh amanah dan dedikasi, dan berkorban apa sahaja demi memastikan negara ini aman daripada perlakuan jenayah.

Oleh itu Awang berpendapat, dalam keadaan apapun masyarakat mesti bertindak adil kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Janganlah membuat andaian, apatah lagi tuduhan bukan-bukan hanya disebabkan segelintir yang menerima rasuah.

Hargailah mereka yang bekerja secara ikhlas dan jujur serta bersusah payah menyara keluarga dengan rezeki halal. Awang mempunyai ramai kawan dalam pasukan itu dan tahu akan dedikasi mereka menjalankan tugas.

Demi sayangkan negara dan memikul amanah yang diberikan, mereka berkorban apa sahaja waima nyawa sekalipun. Justeru, hargailah mereka. Pada masa sama, Awang berharap pengurusan PDRM tidak akan berputus asa untuk terus meningkatkan integriti pegawai dan anggota pasukan itu.

Jika ada antara mereka masih mahu menyara keluarga dengan sumber haram silakan sahaja, tetapi lambat laun, mereka pasti menjadi ‘tetamu’ SPRM.

AWANG – Sentiasa bersama PDRM.