Tidak dinafikan ada pengetua atau guru besar yang cuba menyelesaikan isu berkaitan disiplin secara dalaman bagi menjaga nama baik sekolah. Hakikatnya dalam era sekarang, amat sukar melin­dungi kes-kes berkenaan sebaliknya ia akan tersebar dengan pantas. Adalah le­bih baik pihak sekolah mengambil langkah pencegahan bagi menge­lakkan pelajar terlibat dalam kegiatan yang tidak diingini.

Walaupun kes salah laku dan disiplin masih terkawal tetapi sebanyak 402 sekolah diletakkan dalam kategori hotspot. Walaupun jumlah pelajar yang terlibat dianggarkan 10 hingga 15 orang bagi sesebuah sekolah, situasi ini perlu dibendung. Pemantauan perlu dilakukan supaya mereka yang terlibat diberi kaunseling atau menyertai program pemulihan yang berkaitan.

Awang juga berharap ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meningkatkan kerjasama dengan pihak sekolah bagi membendung kegiatan yang tidak diingini. Bermula dengan kes disiplin kecil seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, pelajar-pelajar ini mungkin terlibat dengan kegiatan kumpulan samseng, penyalahgunaan najis dadah dan sebagainya. Bimbinglah anak-anak di rumah dan ambil tahu aktiviti yang mereka lakukan selepas waktu sekolah.

AWANG - Intai pelajar ponteng di taman.