Dari suri rumah, pekebun sehinggalah pensyarah dan guru, mereka tidak terlepas dari jerat sindiket itu yang tidak berperikemanusiaan.

Mereka licik ‘mencuri’ talian telefon mahkamah, ibu pejabat polis, malah ada menggunakan talian rasmi Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara.

Jika dihubungi semula nombor berkenaan akan masuk ke pejabat berkaitan. Tetapi pegawai yang menelefon tadi ‘tidak wujud’.

Rekod yang Awang peroleh dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu sahaja sebanyak 8,313 kes penipuan scammer membabitkan wang tunai kira-kira RM300 juta.

Kelmarin, seorang penjawat awam di Miri kerugian RM1 juta akibat diperdaya oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya dari Mahkamah Terengganu, awal bulan ini.

Nasihat Awang, sesiapa yang menerima panggilan telefon, usahlah panik. Jangan sesekali dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali.

Kepada anak-anak, selalulah hubungi bertanya khabar orang tua di kampung di samping mengingatkan mereka agar tidak masuk perangkap sindiket seperti ini.


AWANG - Pernah sergah pemanggil Macau Scam.