Itulah yang boleh Awang simpulkan apabila mendengar pelbagai cerita mengenai kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang akan berakhir malam esok. Terlalu banyak gelagat pemimpin-pemimpin kerajaan yang kadang-kala melucukan.

Antaranya termasuklah ada pemimpin kerajaan yang menyebarkan gambar mereka mengisi minyak dan menggunakan kenderaan sendiri berkempen serta ada pula menjarakkan diri daripada pengawal peribadi ketika turun ke Cameron Highlands.

Kadang-kala Awang terfikir perlukah buat janji yang semata-mata untuk menunjukkan kononnya kita lebih baik daripada pemimpin kerajaan terdahulu atau ahli politik pembangkang semata-mata untuk meraih undi?

Bagi Awang, semua itu tidak penting. Apa yang lebih utama adakah janji-janji sepanjang kempen PRK itu akan dilaksanakan atau ia akan ‘ke laut’ seperti mana manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Tidak kisahlah apapun gelagat yang mahu ditonjolkan oleh ahli-ahli politik tetapi jangan beri harapan palsu kepada rakyat. Lagi pula sejak PRU-14, rakyat kian bijak menilai situasi politik negara termasuklah dalam membuat penilaian terhadap sesebuah parti.

AWANG – Tunggu hari mengundi.