Larangan itu tidak ada isu kerana ia sememangnya pendirian Malaysia sejak dahulu lagi apatah lagi jika melibatkan negara rejim Zionis tersebut.

Oleh itu Awang berharap semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam isu ini.

Kita perlu menunjukkan solidariti bagi memberi isyarat tentang kebiadaban dan kejahatan Israel menjajah Palestin.

Walaupun ketegasan Malaysia ini tidaklah sebesar mana, tetapi ia sudah cukup memberi isyarat kepada negara-negara Barat termasuk Israel bahawa negara ini tidak pernah gentar dalam menegak kebenaran serta keadilan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Atas sebab itulah Awang mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menyatakan sokongan terhadap pendirian kerajaan itu.

Beliau menganggap ia langkah tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Semangat seumpama inilah yang diperlukan dalam usaha kita untuk terus berjuang membela nasib rakyat Palestin. Mungkin Malaysia hanya sebuah negara kecil tetapi dari segi menegakkan keadilan dan menentang kezaliman di seluruh dunia, suara kita sangat didengari.

Oleh itu Awang berharap kita perlu terus tegas dalam berhadapan Israel. Lagipun tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana majoriti masyarakat dunia termasuk bukan Islam turut menentang keganasan Israel ke atas warga Palestin.

Awang - Terus berdoa untuk Palestin.