AWANG menyambut baik tindakan untuk memanggil Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin berhubung upacara perbomohan yang dilakukannya sejak kebelakangan ini. Ini bukanlah kali pertama aksi seumpama itu dilakukan. Banyak pihak yang gusar melihat aksi-aksi berkenaan yang bukan sahaja menjadi bahan jenaka tetapi boleh menjejaskan imej agama Islam itu sendiri.
Kita tidak dihalang untuk melakukan sesuatu ikhtiar bagi melindungi diri dan negara tetapi setiap perbuatan itu biarlah ada batasnya tanpa menjejaskan agama, bangsa dan budaya. Tindak tanduk yang dilakukan janganlah sampai menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Lebih membimbangkan sekiranya ia boleh membawa kepada perbuatan syirik. Begitu juga sejak kebelakangan ini, ada pihak yang ghairah mengeluarkan kenyataan yang cuba mencabar kesucian Islam. Mereka bercakap seolah-olah lebih faham mengenai Islam. Dalam hal ini, pihak berkuasa harus bertindak segera dan tidak membiarkan perbuatan berkenaan berlarutan.
Pihak berkuasa perlu memanggil individu-individu berkenaan untuk diberi penjelasan berkaitan sesuatu isu yang ditimbulkan. Jangan kerana kebebasan bersuara, isu ini dibiar berlarutan.
Awang berharap, pihak berkuasa termasuk jabatan agama Islam negeri-negeri dapat memainkan peranan menegur individu berkenaan dan mengambil tindakan segera menyekat keghairahan memperlekehkan agama Islam.
AWANG - Hati-hati buat laporan.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 13 APRIL 2018