Oleh itu Awang berharap dengan kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa beliau akan berundur apabila mendapati keadaan dalam negara sudah licin dan lancar serta sudah boleh maju akan menamatkan polemik mengenai perkara berkenaan.

Cukup-cukuplah membuat kenyataan politik berhubung isu peralihan kuasa. Awang berharap semua pihak akan menghormati pendirian Dr. Mahathir dan tidak lagi membangkitkannya.

Tumpuan sekarang ialah memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan pelbagai agenda kerajaan khususnya melibatkan kesejahteraan hidup rakyat dan ekonomi negara.

Banyak isu yang belum diselesaikan dan adalah lebih baik jika semua pihak tidak kira pembangkang mahupun kerajaan menyerahkan tempoh peralihan kuasa kepada Dr. Mahathir.

Sebagai seorang yang amat berpengalaman dalam politik, Dr. Mahathir pasti tahu bilakah beliau akan berundur atau meletak jawatan, biarpun mungkin ia tidak menepati ramalan atau hasrat sesetengah pihak.

AWANG – Tak suka desak.